ISKANDAR PUTERI: Aksi pembukaan Piala Juara-Juara STL diwarnai kejutan apabila juara Divisyen 1, Melaka Titans menumpaskan Penang Black Panthers 2-1 dalam saingan Kumpulan B di Iskandar Malaysia Studio, di sini sebentar tadi.
Kemenangan tersebut meletakkan Melaka Titans sebagai pendahulu kumpulan, sekali gus memberi amaran buat dua pencabar lain iaitu juara bertahan, Kuala Lumpur (KL) Thunder dan Putrajaya Cyborg.
Pada set pertama, Melaka beraksi baik, namun tewas 14-21 kepada juara Premier, Liga Sepak Takraw (STL) tiga kali, Penang Black Panthers.
Memasuki set kedua, skuad kendalian ketua jurulatih Riduan Ramli itu bangkit untuk menang 21-18 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.
Perejam Melaka Titans dari Thailand, Rusdee Lereem menerusi variasi serangan melebarkan kedudukan kepada 14-10 sebelum Penang Black Panthers kembali mengikat kedudukan 18-18.
Servis Sahidan Md. Ali yang mengelirukan ke penjuru kiri menghadiahkan kemenangan buat Melaka bagi set kedua.
Bersambung set ketiga, Penang Black Panthers ketinggalan 4-1 setelah pasukan lawan berjaya bertahan dengan baik.
Perejam import, Aekasit Naphom yang dibawa keluar mendatangkan masalah buat juara dua kali kejuaraan Piala Juara-Juara yang kerap melakukan kesilapan hingga ketinggalan 7-2.
Rejaman Rusdee terus menjadi igauan buat Penang Black Panthers yang gagal dihadang dengan baik setelah Melaka Titans terus melebarkan kedudukan 14-7.
Percubaan Penang Black Panthers untuk mengejar di akhir permainan tidak berjaya apabila tewas 21-16.
Melaka Titans akan menentang KL Thunder, manakala Penang Black Panthers akan melawan Putrajaya Cyborg, esok. – UTUSAN ONLINE