‘Jika BAM sudi, saya sedia berkhidmat dalam Piala Thomas’

‘Jika BAM sudi, saya sedia berkhidmat dalam Piala Thomas’

LIEW Daren sedia galas cabaran Malaysia dalam Piala Thomas 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jika melihat kepada usia, pemain profesional perseorangan negara, Liew Daren memang telah berumur. Tetapi pengalaman yang dimilikinya mungkin cukup berharga buat skuad kebangsaan yang akan menyertai Piala Thomas di Bangkok, Mei ini.

Rata-rata perseorangan yang dimiliki Malaysia ketika ini seperti Ng Tze Yong, Leong Jun Hao, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Kok Jin Hong dan Lim Chong King masih muda.

Pemain yang baru sahaja bertukar status profesional, Lee Zii Jia, 24, juga masih muda dan jaguh No. 7 dunia itu bakal mengetuai acara perseorangan pada kejohanan berprestij itu.

Pengalaman Daren, 35, yang pernah beraksi dalam Piala Thomas 2012, 2014 dan 2020 mungkin mampu menyeimbangkan pasukan Malaysia antara yang muda dan pengalaman.

“Terpulang kepada BAM (mahu panggil beraksi), saya memanglah bersedia jika dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

“Mungkin pengalaman saya diperlukan, saya sedia kongsi pengalaman dengan pemain muda,” kata Daren kepada Utusan Malaysia.

 

Daren yang kini menghuni ranking ke-36 dunia itu, bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut dan menyerahkan kepada BAM untuk memilih sesiapa sahaja yang difikirkan sesuai.

“Hendak cakap sekarang tentang Piala Thomas, saya rasa terlalu awal. Masih ada banyak masa lagi, saya sendiri mahu fokus kepada beberapa kejohanan yang akan berlangsung tidak lama lagi,” ujarnya.

Bagi slot perseorangan, Zii Jia serta pemain No. 46 dunia, Tze Yong hampir pasti berada dalam senarai skuad Piala Thomas.

Satu lagi slot perseorangan, BAM mempunyai pilihan untuk membawa pemain muda atau memilih pemain berpengalaman yang berstatus profesional seperti Daren atau Cheam June Wei, 25.

Ahad lalu, selepas Kejohanan Berpasukan Asia 2022 berakhir, Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM, Wong Choong Hann berkata, masih terlalu awal untuk memperkatakan tentang Piala Thomas, walaupun, mengakui mempunyai senarai nama yang mantap. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya