SYDNEY: Pemain gantian, Kaoru Mitoma meledak dua gol pada minit akhir untuk membantu Jepun melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali ketujuh berturut-turut selepas menumpaskan Australia 2-0 di tempat lawan, sebentar tadi.
Kemenangan Blue Samurai turut membantu Arab Saudi meraih tiket ke Qatar lebih awal selaku naib juara Kumpulan B, kelayakan Asia tanpa mengira apa keputusan pertemuan menentang China di Sharjah pukul 11 malam ini.
Kekalahan tersebut satu tamparan hebat buat Socceroos yang kini perlu melalui playoff untuk menghidupkan peluang ke Piala Dunia yang berlangsung dari 21 November hingga 18 Disember.
Perlawanan di Sydney tampak akan memberikan keputusan seri sebelum Mitoma menyempurnakan sepakan jarak dekat pada minit ke-89 dan kemudian sekali lagi meledak pada masa kecederaan bagi menggembirakan pelawat.
Jepun menjuarai Kumpulan B dengan 21 mata, enam mata mengatasi Australia berbaki satu perlawanan.
Australia kini perlu menentang pasukan ketiga terbaik Kumpulan A, dan pemenang akan bertemu negara dari Amerika Selatan itu memburu slot ke Qatar. – AFP