ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) membuktikan juara Liga Super itu terlalu kuat buat pasukan Liga M3, BRM FC apabila mudah menewaskan lawan 10-0 pada aksi Piala FA, sebentar tadi.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim itu menyaksikan skuad Harimau Selatan berjaya meledak tiga gol ketika permainan berusia 20 minit.
Penyerang prolifik, Fernando Forestieri memulakan kenduri gol buat pasukan tuan rumah apabila melakukan jaringan seawal minit kedua hasil umpanan Safawi Rasid.
Lima minit berselang, giliran Safiq Rahim mencipta jaringan apabila menghukum kesilapan benteng pertahanan setelah mudah menguis bola menerjah gawang pada minit ketujuh.
Pada minit ke-19, giliran Safawi pula meletakkan nama dalam senarai penjaring apabila menjaringkan gol menerusi sepakan bebas menewaskan jangkauan penjaga gol, Kamarul Effandi Abdul Rahim.
Lima minit berselang, skuad kendalian Benjamin Mora terus meninggalkan pasukan liga bawahan itu apabila Forestieri menambah jaringan hasil rembatan dari jarak dekat pada minit ke-24.
Penyerang kelahiran Argentina itu melengkapkan malam gemilangnya setelah meledak hatrik pertama bersama Harimau Selatan dengan menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-43.
Pasukan tuan rumah tidak menunjukkan tanda-tanda untuk memperlahankan rentak permainan apabila terus menggasak skuad bimbingan Ahmad Fairuz Mohd. Yunus untuk mengukuhkan cengkaman.
Gol terhasil pada minit ke-55 hasil jaringan pemain pertahanan, Mauricio Nascimento bagi melebarkan jaringan buat pasukan tuan rumah.
Empat pemain simpanan yang dibawa masuk iaitu Moussa Sidibe, Daryl Sham, Mohamadou Sumareh dan Daniel Amier Norhisham masing-masing menjaringkan satu gol bagi menambah derita pasukan pelawat.
BRM yang mempunyai peluang untuk mendapatkan gol saguhati pada babak akhir perlawanan terpaksa gigit jari setelah sepakan penalti Fitri Omar diselamatkan Haziq Nadzli. – UTUSAN ONLINE