JDT berpesta gol belasah Sarawak 6-0 - Utusan Malaysia

JDT berpesta gol belasah Sarawak 6-0

SAFAWI Rasid meraikan jaringannya ketika menentang Sarawak United dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) terus memulakan kempen mempertahankan kejuaraan Liga Super dengan cemerlang apabila berpesta gol membenam 10 pemain Sarawak United 6-0 di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Gandingan import berbisa JDT, Fernando Forestieri dan Bergson Da Silva masing-masing menjaringkan dua gol bagi memastikan Harimau Selatan melakar kemenangan kedua berturut-turut selepas menumpaskan Penang FC 1-0 dalam aksi pembukaan.

Beraksi di depan kira-kira 14,000 penonton di laman sendiri, skuad kendalian Benjamin Mora mempamer aksi bertenaga dan menguasai permainan sebaik minit pertama.

SAFAWI Rasid memperdayakan pertahanan Sarawak United,Gonzola Manuel dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Bergson hampir membuka jaringan pada minit ke-11 menerusi rembatan dari jarak 25 meter yang berjaya menewaskan penjaga gol, namun sekadar menggegarkan palang gol.

Gol pembukaan JDT hadir pada minit ke-15 hasil jaringan Forestieri yang melepasi kawalan L. Kalaiharasan sebelum melepaskan rembatan leret menewaskan penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli.

Bergson akhirnya berjaya memahatkan nama dalam senarai penjaring apabila meledak gol menerusi sepakan voli jarak dekat memanfaatkan hantaran lintang Arif Aiman Hanapi pada minit ke-38.

Bersambung babak kedua, skuad Kenyalang Emas cuba bangkit untuk mencari gol pembukaan namun tidak berjaya menewaskan benteng ampuh pasukan tuan rumah.

Pasukan pelawat itu memperoleh peluang keemasan untuk mencetak gol hasil serangan balas pantas pada minit ke-58 menerusi S. Veenod namun gagal memanfaatkan peluang tersebut.

PENYERANG JDT, Fernando Forestieri cuba merembat bola sambil dikawal pertahanan Sarawak United, Stuart James malam ini. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Pada minit ke-60, pasukan pelawat terpaksa beraksi dengan 10 orang setelah pemain gantian, Raja Imran Shah Raja Amin setelah mengutip kad kuning kedua pada perlawanan itu.

Pada minit ke-63, Bergson menambah gol peribadi menghukum kealpaan pasukan Sarawak United dengan menjaringkan gol dengan rembatan kaki kirinya yang berpunca daripada sepakan percuma Forestieri.

10 minit berselang, Carli De Murga membuka buku jaringan bersama skuad Harimau Selatan apabila meledak gol hasil tandukan yang berpunca daripada sepakan sudut yang diambil Arif Aiman.

Pada minit ke-80, pemain gantian, Safawi Rasid menambah derita pasukan Sarawak apabila meledak gol kelima perlawanan hasil umpanan cantik Bergson.

Pasukan JDT yang bertali arus melancarkan serangan ke arah kubu lawan yang tempang tanpa seorang pemain terus berpesta gol hasil jaringan Forestieri pada minit ke-84. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya