JOHOR BAHRU: Pengendali Penang FC, Tomas Trucha menafikan pemainnya sengaja melengahkan waktu dan berpura-pura mengalami kecederaan ketika tewas tipis 1-0 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi pembukaan Liga Super kelmarin.
Tegas Trucha, kecederaan memang berlaku kerana pemainnya belum berada di tahap sebenar, selain faktor kecergasan menyebabkan mereka mudah letih.
“Tindakan itu bukan disengajakan bagi melengahkan masa dan melambatkan permainan namun ini benar-benar berlaku. Apa yang boleh saya katakan ada tiga pemain pada perlawanan itu akan terlepas aksi selepas ini disebabkan kecederaan.
“Bukan mudah untuk bertemu dengan pasukan hebat seperti JDT yang memberikan tekanan tinggi kepada kami, kami juga bukanlah bertahan sepanjang masa malah turut menyerang tapi tidak berjaya mendapat gol.
“Pada hujung babak pertama, ya perkara itu disengajakan kerana mahu pastikan keputusan kekal 0-0 namun tidak berlaku di babak kedua,” ujarnya.
Trucha berkata, beliau memahami apa yang Benjamin Mora rasakan, tetapi menegaskan mereka terpaksa bermain setakat yang mampu agar sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata.
Tambahnya, ketiadaan tonggak serangan utama seperti Endrick Dos Santos dani Casagrande menyebabkan Harimau Kumbang tidak berada di prestasi sebenar.
Terdahulu, pengendali JDT, Benjamin Mora amat kecewa dengan taktikal Tomas setelah yang bertahan sepanjang masa.
Mora memberitahu, mereka bukan sahaja menggunakan taktikal ‘meletakkan bas’ di kawasan sendiri, malah turut membuang banyak masa apabila pemain Harimau Kumbang kerap merebahkan diri.
Katanya, tindakan tersebut menjadikan perlawanan itu membosankan setelah aksi perlawanan yang dipertontonkan kepada penonton tidak banyak aksi dan hambar.
“Hampir semua pemainnya berada dalam kotak penalti. Mereka tidak melakukan serangan bahkan pemain pertahanan turut berada di atas untuk membantu serangan.
“Saya tidak ada masalah jika mereka bermain seperti itu, tetapi ini berlaku sepanjang perlawanan, mereka seperti tidak berminat untuk menyerang dan bertahan sepanjang masa, tindakan inilah yang merosakkan permainan,” katanya. – UTUSAN