PETALING JAYA: Sudahlah Liga Malaysia (Liga M) bergelut dengan Covid-19 yang menyebabkan beberapa perlawanan awal musim terpaksa ditunda, kekecohan yang dicetuskan penyokong selepas tamat aksi Liga Super di antara Kuala Lumpur City (KL City) dan Selangor, Jumaat lalu memburukkan lagi keadaan.
Lebih mengecewakan, ia insiden kedua dalam tempoh kurang seminggu dan sebelum ini pergaduhan turut tercetus selepas tamat perlawanan Sumbangsih di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang KL City di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri 26 Februari lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata, biarpun liga sudah memasuki era profesional, namun segelintir penyokong tempatan masih di tahap amatur.
Selangor dalam satu kenyataan rasmi pula menyelar keganasan dalam bola sepak kerana ia telah mengancam keamanan serta keselamatan penyokong lain yang mahu menikmati perlawanan.
Pengumuman rasmi dari kelab.#MKLK ??#KitaAdalahSatu#TerusBerjuang pic.twitter.com/XCTZzslTWp
— Selangor FC (@selangorfc) March 5, 2022
“Pertama, saya mewakili MFL ingin merakamkan rasa simpati kepada mangsa-mangsa insiden pergaduhan selepas aksi Kuala Lumpur City dan Selangor.
“Saya difahamkan ada yang mengalami kecederaan akibat terkena mercun dan lain-lain, ini perbuatan yang tidak bermoral.
“Stadium sepatutnya menjadi tempat yang selamat untuk beriadah, bersantai dan menikmati sukan bola sepak, bukannya menjadi satu pusat pergaduhan sesama sendiri.
“Kita tidak mahu disebabkan perbuatan kelompok kecil ini, golongan lain menanggung akibat sekali gus menyukarkan usaha semua dalam industri bola sepak untuk mendapatkan kelonggaran khusus daripada kerajaan.
“Jadi MFL mengutuk sekeras-kerasnya tindakan samseng bola sepak ini,” katanya.
Kata Stuart, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif kedua-dua pasukan, Stanley Bernard (KL City) dan Dr. Johan Kamal Hamidon (Selangor) berhubung insiden itu.
Tindakan lanjut akan diambil selepas menerima laporan penuh.
Aksi dua musuh berjiran itu berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan saling mengejar, sebelum KL City dan Selangor seri 3-3.
Dalam perkembangan berkaitan, perlawanan Selangor menentang Sri Pahang yang dijadual berlangsung esok ditunda kerana kem Tok Gajah dilanda Covid-19.