KOTA BHARU: Barisan pemain Kelantan FC diingatkan supaya tidak memperlekehkan kemampuan ‘Budak U’ pada aksi Liga Perdana di Stadium UiTM, Shah Alam pada malam ini.
Jurulatihnya, Rezal Zambery Yahya berkata, sikap waspada terhadap kemampuan lawan perlu sentiasa disemat bagi mengelakkan barisan pemain melakukan kesilapan mudah yang boleh menghukum pasukan.
“Berdepan UiTM FC bukan tugas mudah kerana mereka pastinya mahu meraih kemenangan, begitu juga dengan TRW.
“Apa yang penting, saya mahu barisan pemain kekal fokus dan menyempurnakan setiap peluang yang dimiliki dalam bentuk jaringan bagi memastikan Kelantan FC keluar sebagai pemenang,” katanya.
Rezal Zambery memberitahu, berada di puncak liga hasil dua perlawanan setakat ini memberikan sedikit ‘tekanan’ kerana setiap pasukan yang berdepan TRW akan beraksi mati-matian bagi meraih kemenangan.
Katanya, barisan pemain Kelantan FC perlu menjadikan perkara tersebut sebagai cabaran untuk kekal beraksi dengan baik dalam saingan Liga Perdana musim ini.
Dalam perkembangan lain, Rezal Zambery berkata, ketiadaan tonggak pertahanan berpengalaman iaitu Muhammad Zubir Azmi memberikan kesan buat pasukan itu.
Katanya, bagaimanapun Kelantan FC sudah mempunyai beberapa pemain yang mampu menggalas kekosongan ditinggalkan Muhammad Zubir sepanjang berehat akibat kecederaan.