Impian Piala Dunia Ronaldo masih menyala - Utusan Malaysia

Impian Piala Dunia Ronaldo masih menyala

PEMAIN Portugal meraikan kejayaan mengalahkan Turki dalam playoff Piala Dunia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORTO: Impian Cristiano Ronaldo untuk beraksi pada Piala Dunia 2022 terus menyala, namun hanya selepas Portugal terselamat daripada drama sepakan penalti lewat permainan ketika menang 3-1 ke atas Turki dalam separuh akhir playoff pagi tadi.

Perjalanan juara Eropah 2016 itu untuk layak ke Qatar masih getir kerana perlu berdepan Macedonia Utara di Stadium Dragao, Selasa ini yang menjadi penentu nasib mereka.

Apakah Macedonia Utara lawan yang mudah?

Portugal perlu bertanya soalan itu kepada Itali, yang terlepas Piala Dunia kali kedua berturut-turut selepas tewas 0-1 kepada pasukan kerdil tersebut dalam satu lagi playoff di Palermo pagi tadi.

Dalam aksi di Porto, Portugal berdepan detik cemas, lima minit sebelum tamat permainan selepas Turki dihadiahkan sepakan penalti yang mampu menyamakan kedudukan.

Beraksi di Stadium Dragao yang dibanjiri penonton dengan tiket habis terjual, Burak Yilmaz gagal menyudahkan penalti apabila sepakannya tinggi ke langit.

Terdahulu, Portugal mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi jaringan Otavio dan Diogo Jota.

Turki bagaimanapun mula mengancam sebaik sahaja separuh akhir kedua bermula, dan Yilmaz berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-65, menyebabkan penyokong tuan rumah mula tidak senang duduk.

Pemain pertahanan Portugal, Jose Fonte kemudian mengasari Enes Unal dalam kotak penalti di minit ke-85 untuk menghadiahkan sepakan penalti yang bagaimanapun gagal disempurnakan oleh Yilmaz.

Empat minit memasuki waktu kecederaan, Nuno Mendes melegakan penyokong tuan rumah apabila meledak gol ketiga mereka. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya