MADRID: Ketika Real Madrid sudah berada di ambang penyingkiran, hatrik Karim Benzema di babak kedua membawa juara 13 kali itu bangkit menumpaskan Paris Saint-Germain (PSG) 3-1 untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara hari ini.
Benzema meledak hatrik ketiganya dalam saingan kelab elit Eropah itu pada minit ke-61, 76 dan 78 untuk memastikan Real menang secara agregat 3-2.
PSG menguasai separuh masa pertama dan Kylian Mbappe meletakkan pasukannya sebelah kaki ke suku akhir selepas meledak gol pada minit ke-39, sekali gus mendahului secara agregat 2-0.
Bagaimanapun perubahan drastik yang dipamerkan Real pada separuh masa membuktikan mengapa mereka layak bergelar ‘Raja Eropah’.
Ia menambah kekecewaan pengendali PSG, Mauricio Pochettino yang sebelum ini gagal membawa Tottenham muncul juara selepas kalah kepada Liverpool dalam final 2019. – AGENSI