JOHOR BAHRU: Teruja dengan aksi Johor Tigris ketika membenam Negeri Sembilan (NS) Antlers dalam perlawanan sulung Piala Juara-Juara kelmarin, Ahmad Jais Baharun yakin kejutan mampu dilakukan pasukannya apabila berdepan juara Premier, Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) musim ini, ATM Guardians hari ini.
Kata pengendali Harimau Selatan itu, pertemuan dengan Guardians yang diletak sebagai pilihan utama untuk merangkul gelaran berganda adalah ujian terbesar buat pasukannya dalam saingan Kumpulan A.
Kelmarin, Johor memulakan kempen dengan langkah kanan selepas mudah menjinakkan NS Antlers 21-13, 21-12 pada ketika ATM pula menumpaskan naib juara Divisyen 1, KPT-MASUM Knights 21-12, 21-16 di Iskandar Malaysia Studio, Iskandar Puteri.
“Pertemuan menentang ATM Guardians pasti menjanjikan aksi sengit kerana mereka pasukan paling konsisten dalam Liga Premier musim ini sehingga bergelar juara, jadi pemain perlu bekerja keras untuk meraih kemenangan.
“Saya tidak meletakkan perlawanan menentang ATM sebagai ukuran sebenar kemampuan kami kerana saya percaya masih terdapat ruang yang perlu ditambah baik untuk menjadi satu unit yang lebih mantap,” katanya.
Thailand
Ketajaman servis tekong dari Thailand, Siwatbanchan Seekhwa dan rejaman Muhammad Nuraizat Nordin sekali lagi menjadi sandaran Tigris untuk ‘membunuh’ lawan.
Katanya, servis yang dilakukan Siwatbanchan membantu kemenangan pada set pertama namun dia perlu mempelbagaikan variasi serangan selepas ini setelah servisnya sudah dibaca lawan pada set kedua.
“Saya tidak mahu terlalu berpuas hati dengan keputusan yang diperoleh hari ini, kita perlu menjadi lebih baik terutamanya memperbaiki cara bertahan ketika bola berada dalam kawalan pemain lawan,” ujarnya.
Tambahnya, pemain perlu memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri yang memberi kelebihan buat Johor Tigris setelah sorakan padu penyokong mengganggu tumpuan dan emosi lawan ketika permainan berlangsung.
“Ia memberi kelebihan kepada kami, sokongan padu penyokong bagaikan tonik buat pemain untuk beraksi dengan lebih baik namun ia juga boleh memberi tekanan kepada setelah melakukan kesilapan hingga beri mata kepada lawan,” ujarnya. – UTUSAN