ISKANDAR PUTERI: Juara lapan musim berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) dipaksa berhempas pulas sebelum melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Penang FC dalam aksi pembukaan Loga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.
Kedua-dua pasukan buntu untuk membolosi gawang dan Harimau Kumbang memaksa Harimau Selatan bermain peluh sebelum Bergson Da Silva muncul wira menghadiahkan tiga mata berharga JDT pada minit ke-70.
Pada babak pertama, benteng pertahanan ampuh Penang FC yang diketuai Abdul Latif Suhaimi dan Rafael Vitor berjaya mematikan serangan bertali arus pasukan tuan rumah yang cuba menjaga gol pembukaan.
Setelah mendominasi perlawanan dan mengatur gerakan di kiri dan kanan, peluang JDT hadir pada minit ke-18 menerusi Carli De Murga yang mendapat umpanan ‘backheel’ Fernando Forestieri namun sepakan lambungnya melepasi gawang gol.
Pada minit ke-26, giliran Forestieri pula menguji ketangkasan Khatul Anuar MD. Jalil, bagaimanapun rembatan jarak dekatnya tepat ke arah penjaga gol itu.
10 minit kemudian, penyerang berbisa JDT, Bergson Da Silva mempunyai peluang untuk memecahkan kebuntuan buat Juara Liga Super lapan musim itu namun dinafikan Khatul Anuar pada minit ke-36.
Penang yang turun tanpa kelibat Endrick Dos Santos dan Anselmo Arruda atau dikenali Casagrande, Penang dilihat kurang kreatif dalam menghasilkan serangan balas ke arah kubu lawan.
Bersambung babak kedua, kemasukan Nazmi Faiz Mansor yang menggantikan Moussa Sidibe dilihat tampil dengan aksi lebih garang apabila tidak memberi ruang kepada pasukan lawan untuk bertenang.
Rembatan deras Nazmi mengujakan hampir penonton di stadium namun percubaan tersebut berjaya ditumbuk keluar oleh Khatul Anuar pada minit ke-54.
Kecekapan Khatul Anuar terus diuji menerusi tandukan Shane Lowry yang berpunca daripada sepakan sudut bagaimanapun percubaan itu berjaya ditolak keluar penjaga gawang terbabit.
Percubaan berganda Bergson pada minit ke-56 mencemaskan pengendali Penang, Trucha Tomas namun percubaan dari dalam kotak itu berjaya dihadang pertahanan lawan.
Saat yang ditunggu-tunggu ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora akhirnya hadir pada minit ke-69 apabila Bergson menjaringkan gol tunggal perlawanan memanfaatkan sepakan lintang Arif Aiman Hanapi dengan menanduk masuk melepasi jangkauan penjaga gol.
Pasukan tuan rumah terus berkobar-kobar untuk menggandakan asakan bagi menambah jaringan bagi meletakkan JDT di kedudukan lebih selesa namun tiada pertambahan gol direkodkan. – UTUSAN ONLINE