PETALING JAYA: Tolak tepi keputusan menang atau kalah kerana pembentukan skuad Harimau Malaya di bawah kendalian jurulatih baharu, Kim Pan Gon menyajikan corak perlawanan menyegarkan dalam siri perlawanan persahabatan minggu lalu.
Biarpun kalah 1-2 kepada Singapura dalam aksi kedua selepas mengalahkan Filipina 2-0 dalam perlawanan pembukaan, konsep yang diterapkan jurulatih kelahiran Korea Selatan itu dilihat berkesan dalam mencapai objektif permainan.
Malaysia menutup siri persahabatan dengan mengalahkan kelab Singapura, Albirex Niigata FC 3-0, Isnin lalu.

Penganalisis bola sepak negara, Datuk Richard Scully percaya, Pan Gon berjaya meletakkan setiap pemain mengikut posisi sesuai dengan kemampuan masing-masing.
“Secara keseluruhan, saya lihat pemain faham apa yang dikehendaki jurulatih. Dengan taktikal 4-3-3, saya percaya langkah itu berkesan kerana setiap pemain menjalankan tugas mengikut keupayaan yang ditetapkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tegasnya, untuk membuat perbandingan mengenai keadaan pasukan kebangsaan yang terkini dengan ketika di bawah kendalian Tan Cheng Hoe dahulu adalah sukar kerana setiap jurulatih mempunyai pendekatan falsafah di atas padang yang berbeza-beza.
“Saya juga lihat Kim Pan Gon mempunyai falsafah permainan ‘menyerang’.
“Walaupun kita kalah dengan Singapura pada perlawanan kedua, itu tidak bermaksud kita tidak mencapai objektif kerana keputusan akhir menang atau kalah itu adat pertandingan.
“Dari segi corak permainan, saya lihat semua pemain tahu apa yang perlu mereka lakukan, contohnya dari segi hantaran bola, malah ada lorongan yang tersusun di bahagian kiri dan kanan yang beri kebebasan untuk Dion Cools dan Corbin Ong bergerak,” katanya. – UTUSAN