GEORGETOWN: Penang FC membaham pasukan Liga M3, Tambun FC 4-0 pada saingan Piala FA musim 2022 di Stadium Bandaraya di sini malam ini.
Pasukan kendalian Tomas Trucha itu bermula garang setelah mempertaruhkan empat gadingan pemain importnya iaitu Endrick Dos Santos, Rafael Vitor; Hilal El-Helwe dan Christian Rontini.
Pada babak pertama perlawanan, skuad Harimau Kumbang sedaya upaya mahu membuktikan kecemerlangan mereka di hadapan penyokong setia dengan memperkuatkan pertahanan daripada dirobek lawan.
Gol pendahulu Penang FC dihasilkan menerusi sepakan penalti Vitor pada minit ke-17 setelah dia dikasari Harzan Hafiz Hazlizanizan Ahwal pada minit ke-15.
Meskipun berdepan asakan bertalu-talu barisan kendalian Izzat Nazari, namun pasukan Penang FC sekali lagi bangkit dengan menghasilkan jaringan kedua pada minit ke-21 hasil ledakan bekas pemain Kelantan United FC, Mohamad Alif Romli.
Tidak dinafikan, Tambun FC juga dilihat tidak berdepan sebarang masalah dan tidak kekok apabila berdepan lawan yang memegang status pasukan dalam Liga nombor satu negara iaitu Liga Super.
Gol ketiga Penang FC hadir pada masa kedua perlawanan hasil tendangan pemain tengahnya, Muhammad Rafiuddin Roddin manakala jaringan keempat disudahi Muhamad Danial Ashraf Abdullah pada minit ke-90.
Keputusan 4-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan. – UTUSAN ONLINE