Harap stadium Bukit Jalil bergema semula - Utusan Malaysia

Harap stadium Bukit Jalil bergema semula

KEHADIRAN penyokong di Stadium Nasional, Bukit Jalil mampu menaikkan semangat Harimau Malaya dalam Kelayakan Piala Asia 2023, Jun nanti. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kelebihan beraksi di laman sendiri sudah tentu mahu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Malaysia apabila menjadi tuan rumah pada pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Jun ini.

Gema paluan gendang dan sorakan ribuan penyokong Harimau Malaya bagi membangkitkan semangat pemain serta memberi rasa gerun lawan pasti ditagih, maka Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil langkah dengan memohon rayuan bagi mendapatkan kebenaran kemasukan penuh penyokong sepanjang kempen itu berlangsung.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Mohd. Saifuddin Abu Bakar, pihaknya sudah menghantar surat rayuan kepada Kerajaan untuk mendapatkan pertimbangan sewajarnya selepas pihak berkuasa melonggarkan prosedur standard operasi (SOP) bagi Covid-19 bermula 1 April nanti.

Jelas selepas beberapa SOP lain dilonggarkan seperti kebenaran kapasiti penuh untuk majlis kenduri kahwin dan solat berjemaah di masjid tanpa penjarakan, beliau berharap permohonan kemasukan penyokong dengan kapasiti penuh dapat diberikan, di mana SNBJ mampu memuatkan hampir 90,000 penyokong.

Saifuddin Abu Bakar

“Harap selepas dua tahun tiada aksi di peringkat antarabangsa, sudah tentu kita harap kali ini penganjuran dapat dilakukan dengan kapasiti seratus peratus kehadiran penonton.

“Namun, kita masih lagi menunggu kerana SOP sebenar masih belum keluar tetapi buat masa sekarang, langkah pertama adalah menghantar permohonan kepada KBS dan kita tunggu maklum balas selanjutnya,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM kali keempat bagi penggal 2021-2025 di Wisma FAM, di sini, hari ini.

Pada pusingan kelayakan itu nanti, skuad negara kendalian Kim Pan Gon diletakkan dalam Kumpulan E bersama-sama Bahrain, Turkmenistan dan Bangladesh.

Juara daripada enam kumpulan dan lima naib juara terbaik akan layak secara automatik ke Piala Asia 2023 yang dijadual berlangsung di China tahun depan.

harimau malaya
PEMAIN Harimau Malaya akan beraksi dalam Kumpulan E pada Kelayakan Piala Asia 2023.

Mengulas lanjut, Saifuddin turut mengesahkan pihaknya kekal peka dengan situasi semasa Covid-19 dan penganjuran kejohanan bola sepak di Malaysia akan kekal menggunakan konsep gelembung sukan.

“Walaupun 1 April nanti SOP Covid-19 sudah dilonggarkan apabila kerajaan membuka sempadan negara buat pengembara luar, namun sebagai badan sukan, kita kan tetap menggunakan konsep gelembung sukan.

“Ia sesuai dengan SOP yang dicadangkan Konfederasi Bolasepak Asia dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa. Pasukan tidak perlu dikuarantin tetapi hanya diasingkan jika positif Covid-19,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya