Hakim mampu ke pentas MotoGP dunia - Utusan Malaysia

Hakim mampu ke pentas MotoGP dunia

Hakim Danish Ramli (tengah) cemerlang memenangi Perlumbaan 1 dan 2 dalam Asia Talent Cup, Grand Prix Indonesia di Litar Antarabangsa Mandalika, minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prestasi cemerlang yang dipamerkan Hakim Danish Ramli dalam perlumbaan Asia Talent Cup (ATC) pada Grand Prix (GP) Indonesia di Litar Antarabangsa Mandalika, hujung minggu lalu memberi bayangan awal terhadap potensi besar yang dimiliki pelumba remaja negara itu.

Bakat yang dimiliki pelumba asuhan SIC Racing tersebut jika digilap sebaik mungkin mampu membawanya ke kejuaraan motosikal dunia satu hari kelak memandangkan usianya baru mencecah 15 tahun, manakala had minimum untuk beraksi pada kejohanan itu ialah 18 tahun.

Pengurus pasukan SIC Ra­cing, Zulfahmi Khairuddin ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, Hakim mempunyai potensi untuk mengorak langkah lebih jauh jika dia mampu mengekalkan disiplin tinggi dalam dirinya.

ZULFAHMI Khairuddin yakin bakat yang dimiliki Hakim Danish Ramli (kiri) mampu membawanya melangkah jauh.

“Saya yakin dia adalah pelumba yang sangat berbakat dan berpotensi tinggi dengan disiplin yang dia ada.

“Insya-Allah kalau kita tunjukkan dia jalan yang betul, dengan sokongan padu daripada SIC (Litar Antarabangsa Sepang), KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan juga MAM (Persatuan Sukan Pemotoran Malaysia) saya harap kita dapat bawa dia ke kejuaraan dunia pada satu hari nanti,” katanya di sini, semalam.

Selepas tamat pusingan ke­dua ATC di Lombok, Indonesia Hakim berjaya mengungguli saingan 16 pusingan itu dengan catatan 28 minit 06.916 saat (s). Saingan pertama sebelum ini berlangsung di Qatar pada 6 Mac lalu.

Walaupun agak keciciran di pertengahan perlumbaan, namun, Hakim berjaya bangkit untuk mengetepikan dua pencabar terdekat dari Jepun, Gun Mie serta Shinya Ezawa yang terpaksa berpuas hati melengkap­kan aksi di kedudukan kedua dan ketiga.

Kejayaan tersebut menyaksikan Hakim kini mendahului kedudukan keseluruhan selepas mengumpul 72 mata, meninggalkan Ezawa di kedudukan kedua dengan perbezaan satu mata, manakala seorang lagi pelumba Jepun, Amon Odaki berada di tempat ketiga setelah mengutip 54 mata.

Menurut Zulfahmi, selepas perlumbaan di Qatar, pasukan­nya banyak melakukan ulangkaji tentang pelumba lain dan juga strategi perlumbaan yang sesuai untuk diterapkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya