PETALING JAYA: Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli terus memukau Litar Mandalika, Lombok apabila menjuarai Perlumbaan 2, Pusingan 2 kejuaraan Asia Talent Cup (ATC) hari ini.
Selepas memenangi Perlumbaan 1 semalam, Hakim yang bermula dari petak kedua mempamer tunggangan konsisten untuk muncul pelumba pertama tiba di garisan penamat dengan catatan masa 28 minit, 06.916 saat.
Dia mengetepikan pelumba Jepun, Gun Mie yang ketinggalan 0.272s, manakala seorang lagi pelumba negara itu, Shinya Ezawa berada di tempat ketiga.
Kejayaan menjuarai dua perlumbaan di Lombok membolehkan Hakim ketika ini mendahului kedudukan keseluruhan mengumpul 72 mata.
Sementara itu, seorang lagi pelumba negara, Farish Hafiy menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-13 dan menduduki tangga kesembilan keseluruhan. – UTUSAN ONLINE