JEDDAH: Pasukan Formula Satu (F1) Red Bull menyokong keputusan meneruskan Grand Prix (GP) Arab Saudi biarpun diancam serangan ke atas depoh minyak berdekatan Litar Jeddah.
“F1 tidak akan dibuli. Sukan perlu tegas menentang perkara ini. Keganasan sebegini tidak akan diberi muka. Sukan tidak boleh dibuli dengan cara ini,” kata Prinsipal Red Bull, Christian Horner.
Horner dan bos Mercedes, Toto Wolff yang sering tidak sependapat sebelum ini bagaimanapu sehaluan dalam memastikan perlumbaan diteruskan.
“Kami berbincang sesama prinsipal pasukan dan semua bersetuju untuk ia diteruskan. Litar ini antara yang paling selamat di Arab Saudi ketika ini,” kata Wolff.
Pemberontak Yaman menyerang kemudahan minyak milik Aramco berhampiran litar ketika sesi latihan yang menyaksikan kebakaran besar dari litar.
Sesi latihan kedua tertangguh dengan pengurusan F1, bos-bos pasukan, pemandu dan promoter perlumbaan membincangkan tentang serangan berkenaan.
Aramco adalah penaja kepada pasukan Aston Martin. – AFP