Farah Ann tangguh hajat tubuh akademi gimnastik - Utusan Malaysia

Farah Ann tangguh hajat tubuh akademi gimnastik

FARAH Ann (tengah) tetap akan memberi sokongan kepada usaha membangunkan sukan gimnastik di negara ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kos yang terlalu tinggi antara RM500,000 hingga RM1 juta memaksa Farah Ann Abdul Hadi menangguhkan hasratnya untuk menubuhkan akademi gimnastik yang diimpikan selama ini.

Bagaimanapun gimnas negara itu yang me­ngumumkan persaraannya minggu lalu tetap bersemangat untuk membantu pembangunan gimnastik de­ngan memperkenalkan Piala Farah Ann.

“Buat masa ini saya menangguhkan dulu hasrat untuk membuka akademi kerana kosnya membabitkan sekitar RM500,000 hingga RM1 juta.

“Jadi, saya berasakan buat masa ini menganjurkan pertan­dingan Piala Farah Ann lebih praktikal,” katanya dalam sidang akhbar semalam.

GIMNAS negara, Farah Abdul Hadi bersama jurulatihnya, Natalya Sinkova.

Pemenang tujuh pingat emas Sukan SEA itu turut menyuarakan hasrat untuk bergelar juri gimnastik dan merancang untuk mengambil kursus bagi membolehkannya mengadili pertan­dingan di peringkat antarabangsa.

Selepas mengumumkan persaraan, Sabtu lalu, Farah Ann yang beraksi dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 mula menyusun perancangan masa depan apabila merancang untuk menganjurkan Piala Farah Ann bermula tahun depan.

“Saya berharap melalui Piala Farah Ann ini akan dapat membantu negara melahirkan bakat-bakat muda khususnya di bawah umur 12 tahun,” katanya, yang amat memerlukan sokongan Majlis Sukan Negara (MSN).

FARAH Ann ketika beraksi dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sementara itu, Farah Ann  menegaskan keputusannya untuk bersara bukan kerana tidak dapat menyesuaikan diri dengan masalah kecederaan serta perubahan semasa.

Sebaliknya, jelas gimnas negara yang beraksi selama 25 tahun itu, sudah tiba masanya untuk dia berundur sekali gus memberi peluang kepada atlet gimnas yang lebih muda dan berbakat.

“Saya bukan bersara kerana tidak dapat menyesuaikan diri dengan kecederaan atau sebarang perubahan. Untuk pengetahuan semua, perubahan akan sentiasa berlaku setiap tahun selepas empat tahun kitaran Sukan Olimpik.

“Menjadi seorang gimnas selama 25 tahun, saya sudah melalui pelbagai kitaran perubahan dan saya gembira dapat menyesuaikan diri dengan segala perubahan,” katanya.

Jelas Farah, keputusannya untuk bersara juga didorong rasa puas mencapai segala yang diidamkannya dalam sukan itu termasuklah beraksi di Sukan Olimpik Tokyo.

Mengulas perancangannya selepas ini, Farah berkata dia sudah mula melakukan tugas penjurian dan mahu menghadiri kursus untuk menjadi juri antarabangsa.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya