PETALING JAYA: Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) masih belum menerima surat rasmi daripada gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi yang dikatakan mahu bersara dalam masa terdekat.
Setiausaha Kehormat MGF, Afrita Ariany Nasril berkata, setakat ini beliau hanya mengetahui mengenai perkara tersebut menerusi jurulatih dan orang-orang yang terdekat dengan ratu gimnastik artistik negara itu, namun bukan daripada tuan punya badan sendiri.
Katanya, kali pertama berita mengenai Farah, 28, mahu bersara dimaklumkan ketika mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) bersama Majlis Sukan Negara (MSN) baru-baru ini.
“Daripada apa yang kami dimaklumkan oleh jurulatih, Farah menyatakan hasrat untuk bersara, dia juga ada bercakap mengenai perkara ini dengan beberapa orang yang rapat dengannya semasa latihan.
“Begitupun di pihak saya, kami masih menunggu surat daripadanya sebelum boleh membuat sebarang pengumuman rasmi,” kata Afrita dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Atlet ke Sukan SEA Vietnam di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini, hari ini.
Katanya, setakat ini nama Farah masih dalam senarai ke Sukan SEA Vietnam, Mei depan, malah atlet kelahiran Subang itu juga dalam perancangan bagi menggalas cabaran skuad gimnastik negara menghadapi temasya dwitahunan itu.
“Sudah pasti dengan kehadiran Farah bersama pasukan, kami mempunyai peluang yang besar untuk memenangi pingat emas dalam acara berpasukan, namun, jika sebaliknya berlaku kami juga sudah mempunyai pelan B.
“Jika tanpa Farah, kami mempunyai atlet yang berpotensi untuk memenangi pingat emas dalam acara lain bagi mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya yang memaklumkan MGF menetapkan sasaran untuk membawa pulang empat emas dari Vietnam masing-masing dua untuk gimnastik artitistik dan berirama.
Farah Ann yang memiliki tujuh pingat emas Sukan SEA dalam koleksinya muncul gimnas ketiga negara meraih tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas Ng Shu Wai dan Au Li Yen. – UTUSAN ONLINE