PETALING JAYA: Pertemuan dua musuh tertangga, Kuala Lumpur City (KL City) menentang Selangor berlangsung sengit dengan enam gol berjaya dihasilkan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras dan kedua-dua pasukan berkongsi mata selepas seri 3-3 sebentar tadi.
Dalam aksi yang bermula lewat akibat hujan lebat, penyerang baharu Selangor, Hyuri Henrique mencetak nama sebagai penjaring dalam penampilan sulung Liga Super apabila menanduk bola menewaskan pertahanan KL City, Irfan Zakaria seawal minit ke-19.
KL City bagaimanapun tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan 1-1 apabila rembatan jauh Zhafri Yahya menewaskan penjaga gol, Khairulazhan Khalid seminit berselang.
Gergasi Merah bagaimanapun kembali di depan pada minit ke-27 hasil sepakan penalti seorang lagi penyerang baharunya, Herlison Caion yang dijatuhkan oleh Kenny Pallraj.
Kebimbangan yang pernah disuarakan oleh pengendali Selangor, Michael Feichtenbeiner mengenai kerapuhan benteng akhirnya menjadi kenyataan.
Aksi kurang kemas di bahagian pertahanan Selangor membolehkan Hadin Azman mengecewakan Khairulazhan selepas menanduk bola hantaran Paulo Josue.
Perlawanan semakin sengit dan mendebarkan sebaik sahaja babak kedua bersambung apabila skuad The City Boys pula mengambil alih kedudukan pendahulu selepas Ryan Lambert meledak gol ketiga di minit ke-60.
Malang menimpa KL City pada minit ke-73 apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Giancarlo Gallifuoco dibuang padang gara-gara mengasari Safuwan Baharudin untuk dilayangkan kad kuning kedua.
Akhirnya pada minit ke-78, Selangor sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan Irfan dan Caion menyempurnakan tendangan untuk kedudukan 3-3. – UTUSAN ONLINE