PETALING JAYA: Pasukan MotoGP persendirian negara, WithU Yamaha RNF MotoGP mahu menebus kekecewaan di Grand Prix (GP) Qatar dengan melakar keputusan lebih baik dalam GP Indonesia di Litar Antarabangsa Mandalika hujung minggu in.
Amaran itu dilaungkan pelumba utamanya, Andrea Dovizioso yang bersedia memperbaiki kelemahan pada perlumbaan pertama di Litar Losail, 6 Mac lalu yang menyaksikan dia menamatkan perlumbaan di tempat ke-14.
“Selepas mengharungi perlumbaan pertama yang agar sukar di Qatar, kami menyasarkan keputusan lebih baik di GP Indonesia dan cuba mengurangkan kesilapan mudah yang dilakukan sebelum ini.
“Litar Mandalika merupakan gelanggang baharu buat semua pelumba dan semua berpeluang untuk muncul juara. Kita telah mencuba litar itu ketika sesi ujian pramusim, ia litar yang bagus dan saya harap keputusan bagus juga akan memihak kepada saya,” katanya.
Dalam pada itu, rakan sepasukannya, Darryn Binder yang merupakan pendatang baharu sudah tidak sabar untuk turun berlumba di Indonesia.
“Saya sangat teruja untuk beraksi di Indonesia. Saya menikmati litar ini ketika ujian pramusim dan sangat bagus dapat kembali semula di sini.
“Saya cukup gembira apa yang berlaku di Qatar, ia membuat saya lebih bersemangat untuk meneruskan perlumbaan seterusnya. Saya belajar beberapa perkara di sana dan kini peluang untuk menggunakannya,” ujarnya.
Selepas perlumbaan di Qatar, WithU Yamaha RNF MotoGP Team kini berada di kedudukan kelima daripada enam pasukan dalam klasifikasi ‘Independent Team’. – AGENSI