Di mana logiknya MSC jadi gabungan Astaf? - Utusan Malaysia

Di mana logiknya MSC jadi gabungan Astaf?

SUMALI REDUAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: “Di mana logiknya MSC jadi ahli gabungan Astaf sedangkan PSM diiktiraf Majlis Olimpik Malaysia (MOM), jadi Astaf kena ikut peraturan Malaysia”.

Itu kata Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd. Sumali Reduan selepas Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) semalam mengesahkan telah menerima Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) sebagai ahli gabungan mereka.

Pengiktirafan itu diberikan menerusi satu sijil yang ditandatangani oleh Presiden Astaf, Datuk Abdul Halim Kader dari Singapura dan Setiausaha Agung, Boonchai Lorhpipat dari Thailand.

“Saya tak pasti benar atau tidak isi kandungan sijil keahlian itu, saya hanya tengok dalam Facebook.

“Namun jika benar, mana surat pengumuman rasmi? Saya masih menunggu pengumuman rasmi, selagi tiada saya tak dapat memberi ulasan lanjut, setakat ini belum ada pengumuman rasmi,” kata Sumali ketika dihubungi Mingguan Malaysia.

SIJIL pengiktirafan MSC sebagai ahli gabungan Astaf ditandatangani oleh Abdul Halim Kader dan Boonchai Lorhpipat.

Menurutnya, PSM diiktiraf oleh MOM, maka adalah tidak wajar jika Astaf boleh menerima MSC sebagai sebuah entiti baharu dalam sukan sepak takraw negara.

PSM juga sudah melangsaikan hutang AS$15,000 (RM63,886) yang diminta oleh Astaf sebagai syarat untuk menerima mereka kembali ke pangkuan badan sepak takraw Asia itu.

“Ikut logik, macam mana Astaf boleh diterima MSC sedangkan PSM diiktiraf MOM, kena ikut negara kitalah, sebab MOM masih iktiraf PSM,” katanya.

Ditanya sekiranya benar Astaf menerima MSC sebagai ahli gabungan, Mohd. Sumali berkata, PSM sudah bersedia untuk menghadapi apa jua kemungkinan.

“Jika benar MSC diterima sebagai ahli gabungan Astaf, kami akan membawa perkara ini ke mahkamah tribunal, kami sudah sediakan peguam,” katanya.

MSC diterajui oleh Datuk Suhaili Abdul Rahman sebagai presiden manakala PSM yang mengadakan pemilihan pucuk pimpinan baharu, bulan lalu menyaksikan Sumali mengambil alih kerusi No. 1 badan induk itu.

HALIM KADER

Sementara itu, Abdul Halim dalam satu kenyataan berkata, keputusan menerima MSC sebagai ahli gabungan diputuskan sebulat suara dalam mesyuarat Eksekutif Astaf kelmarin.

Katanya, keputusan tidak menerima kembali PSM kerana pihaknya sudah serik dengan badan induk berkenaan dan tidak mahu ‘pisang berbuah dua kali’.

“Sudah tentu masalah yang tidak habis-habis ditimbulkan PSM turut diambil kira dalam keputusan ini. Kami berpandangan, adalah lebih baik untuk memberi peluang kepada kepimpinan baharu (MSC) untuk meneruskan citarasa peminat sepak takraw di Malaysia.

“Saya beri jaminan, Astaf akan memberi sokongan kepada MSC bagi pembangunan sepak takraw di Malaysia. Kami juga tidak akan meluputkan sejarah sepak takraw selama 60 tahun di Tanah Melayu dan Malaysia yang mana saya turut terbabit,” katanya.

Pada 20 Mei tahun lalu, Jawatankuasa Disiplin Astaf menyingkirkan PSM sebagai ahli gabungan selepas didapati bersalah susulan tindakan Presiden PSM ketika itu, Datuk Seri Ahmad Ismail di atas kapisiti Timbalan Presiden Astaf menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada Februari.

Tindakan itu melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dan Astaf seperti dimeterai 14 Mac 2008.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya