Dapat bantu mereka separuh gaji pun okey - Utusan Malaysia

Dapat bantu mereka separuh gaji pun okey

PEMAIN skuad utama Perak FC yang turut tidak menerima gaji tetap bersemangat untuk menjalani latihan menghadapi Liga Malaysia yang baru membuka tirai minggu lalu. – IHSAN PERAK FOOTBALL CLUB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Bersimpati dengan nasib pemain-pemain Piala Presiden dan Belia Perak yang sudah dua bulan tidak menerima gaji, kelab-kelab penyokong Perak akan berkumpul malam ini bagi melancarkan dana untuk membantu mereka.

Misi awal adalah memastikan pemain dapat dibantu sekurang-kurangnya separuh daripada gaji yang dite­rima bagi meringankan beban mereka yang dicengkam masalah kewangan.

Kelab Gendang Perak yang sebelum ini mengambil inisiatif menghulurkan bantuan makanan dan keperluan seharian berkata, kutipan kilat yang dilancarkan kelmarin gagal mendapat sambutan menyebabkan mereka bercadang melancarkan tabung secara besar-besaran.

“Kasihan mereka kerana terpaksa mengharungi kesusahan gara-gara tidak di bayar gaji selama dua bulan.

“Sudahlah gaji kecil, tak dapat pula,” kata pengerusi kelab, Hakimi Helmi kepada Utusan Malaysia selepas dia dan rakan-rakannya terpanggil untuk memberi bantuan berikutan tular video pemain itu makan nasib bersama sup beramai-ramai selepas latihan.

PENYOKONG memberikan bantuan makanan dan barangan keperluan kepada pemain Perak yang menghadapi masalah gaji. – UTUSAN

Kata Hakimi, tabung yang dilancarkan baru-baru ini ha­nya berjaya mengumpul RM220 dan itu mendorong mereka menggandakan usaha bagi menambah kutipan.

“Kami akan mengumpulkan sebanyak mungkin kelab penyokong bola sepak di Perak untuk mengutip derma.

“Saya berharap semua akan datang ke Bangunan UMNO di sini mulai pukul 8 malam ini (semalam),” katanya.

Menurut Hakimi, mereka bercadang untuk memberikan sekurang-kurangnya separuh bulan gaji kepada 50 pemain terlibat.

“Saya menyeru kepada penyokong Perak supaya menghulurkan bantuan kepada pemain-pemain ini.

“Mereka perlukan bantuan segera bagi menyelesaikan masalah sewa rumah dan kegunaan harian,” katanya.

Katanya, peminat Perak dan orang perseorangan yang sudi menghulurkan bantuan bagi meringankan beban pemain-pemain bolehlah menyumbang melalui akaun CIMB BANK 8603061041 atas nama HK Ritz Enterprise.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya