City, Liverpool berentap dua kali dalam tempoh 7 hari - Utusan Malaysia

City, Liverpool berentap dua kali dalam tempoh 7 hari

DIOGO Jota menjaringkan gol tunggal Liverpool ketika menumpaskan Nottingham Forest dalam suku akhir Piala FA di The City Ground, Nottingham hari ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berkata, pasukannya bukan ‘undian impian’ buat mana-mana pasukan apabila terpaksa berdepan Manchester City dua kali dalam tempoh tujuh hari pada saingan Liga Perdana Inggeris serta Piala FA.

Jaringan Diogo Jota pada minit ke-78 memastikan Reds melakar kemenangan pertama di padang Nottingham Forest dalam 13 kunjungan, sekali gus menempah pertemuan dengan City pada separuh akhir Piala FA di Wembley, 16 April.

Liverpool sebelum itu akan menentang anak-anak buah Pep Guardiola di Stadium Etihad pada 10 April dalam perlawanan yang amat penting untuk menentukan kejuaraan Liga Perdana.

RAHEEM Sterling (tengah) meraikan jaringannya ketika membantu Manchester City menewaskan Southampton dalam suku akhir Piala FA di Stadium Saint Mary’s pagi tadi.

“Kami mempunyai Watford, Benfica, City, Benfica, City, Manchester United dan Everton (selepas rehat antarabangsa).

“Dari perspektif Liverpool, ini semua adalah perlawanan besar dan kami cuba bermain satu demi satu dan bukan semuanya serentak.

“Sebelum perlawanan ini, kami sudah tahu City akan menjadi lawan Liverpool jika kami mahu meneruskan cabaran ke final (Piala FA).

“Semakin jauh anda melangkah dalam mana-mana pertandingan semakin besar kemungkinan anda akan menentang City. Saya tidak fikir kami kami adalah undian impian untuk sesiapa, tetapi ia akan menjadi perlawanan yang sukar dan kami perlu memastikan ia akan juga menjadi sukar buat City,” kata Klopp.

City terlebih dulu mengesahkan tiket ke separuh akhir selepas membelasah Southampton 4-1 di Stadium Saint Mary’s, dan kini mendahului liga dengan kelebihan satu mata ke atas Liverpool. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya