PETALING JAYA: Kejayaan muncul atlet wusyu pertama (lelaki dan wanita) meraih pengiktirafan utama dalam Anugerah Sukan Negara (ASN) sejak ia diperkenalkan pada 1966 membolehkan Tan Cheong Min mengangkat martabat sukan seni bela diri itu ke tahap lebih tinggi.
Kata Cheong Min, 24, dia tidak pernah terfikir selepas 56 tahun anugerah diadakan, wusyu akan menerima penghormatan tersebut, malah lebih membanggakan kejayaan itu hadir menerusinya.
Memenangi pingat emas acara Nandao pada Kejohanan Dunia 2019 di Shanghai melayakkan Cheong Min dinobat sebagai Olahragawati ASN 2019/2020 yang sudah beberapa kali tertunda akibat Covid-19 dan bencana banjir sebelum diadakan semalam.
Jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang memahat sejarah muncul Olahragawan buat kali keempat, sekali gus menyamai rekod dua legenda badminton, Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Rashid Sidek.

“Secara jujur, saya tidak sangka dipilih sebagai Olahragawati ASN 2019/2020 kerana calon-calon lain sangat cemerlang. Saya amat bangga kerana ini kali pertama saya menerima anugerah besar dalam kerjaya sukan.
“Anugerah ini menjadi sumber motivasi untuk saya terus melangkah ke depan dan saya akan cuba sedaya upaya memberi persembahan lebih cemerlang. Saya akan berkerja gigih dan akan terus memberi sumbangan kepada negara.
“Kejayaan kini memberi peluang kepada wusyu untuk memberitahu rakyat Malaysia bahawa sukan ini sebenarnya amat cemerlang di negara kita.
“Saya juga berharap ia akan memberi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Malaysia memilih wusyu sebagai kerjaya,” katanya kepada Utusan Malaysia.