LONDON: Syarikat telekomunikasi Three menggantung perjanjian jersi bernilai 40 juta pound (RM219.58 juta) selepas pemilik Chelsea, Roman Abramovich dikenakan sekatan oleh kerajaan United Kingdom (UK) yang menyebabkan masa depan kelab dalam keraguan.
Kerajaan UK semalam mengesahkan, Abramovich dikenakan sekatan kerana mempunyai hubungan rapat dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Aset hartawan Rusia itu di UK telah dibekukan dan menyebabkan usaha untuk menjual Chelsea sukar dilakukan awal.
Lebih malang, kelab tidak dibenarkan menjual tiket yang menyebabkan mereka kehilangan pendapatan 600,000 pound (RM3.29 juta) bagi setiap perlawanan, selain dilarang menjual barangan, membeli atau menjual pemain, memperbaharui kontrak pasukan.
Blues juga hanya dibenarkan berbelanja 20,000 pound (RM109,723) bagi setiap perjalanan untuk perlawanan di luar kota London sedangkan kos setiap aksi di Eropah mampu mencecah 60,000 pound (RM329,000).
Situasi itu menyebabkan ramai pihak bimbang Blues mungkin bergelut untuk memenuhi jadual perlawanan di tempat lawan, terutama di pentas Eropah tetapi pengurus pasukan, Thomas Tuchel memilih untuk bersikap positif.
Blues bakal berdepan masalah besar jika tidak dijual dalam tempoh 81 hari kerana pasukan kini tiada pendapatan tetapi dalam masa sama perlu membayar gaji mahal kepada pemain dan seluruh kakitangan.
“Selagi kami mempunyai baju dan bas yang mencukupi untuk memandu ke kejohanan, kami akan berada di sana dan bersaing hebat,” kata Tuchel sejurus selepas Blues menumpaskan Norwich City 3-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris semalam.
Perlawanan Chelsea masih boleh disiarkan, manakala hanya barangan kelab sedia ada boleh dijual, sekali gus mendorong Three menghentikan seketika penajaan mereka dalam tempoh setahun.
“Berikutan sekatan yang diumumkan kerajaan baru-baru ini, kami telah meminta Kelab Bola Sepak Chelsea menangguhkan sementara tajaan kami, termasuk membuang jenama kami daripada baju dan di sekitar stadium sehingga diberitahu kelak,” kata jurucakap Three.
Syarikat barangan sukan Amerika Syarikat (AS), Nike juga dikatakan bersedia menarik semula perjanjian jersi bernilai 540 juta pound (RM2.96 bilion) bagi tempoh 15 tahun. – AGENSI