LONDON: Tujuh perlawanan dalam tempoh 22 hari, termasuk dua pertemuan menentang Manchester City akan menguji keupayaan Liverpool untuk memenuhi misi memburu empat kejuaraan.
Satu demi satu lawan perlu ditumbangkan anak-anak buah Jurgen Klopp.
Semalam, Reds meneruskan misi memburu empat gelaran selepas menumpaskan kelab Liga Kejuaraan, Nottingham Forest 1-0 untuk menempah pertemuan dengan City dalam separuh akhir Piala FA.
Cabaran pertama Liverpool bermula dengan menerima kunjungan Watford di Anfield pada 2 April, diikuti kunjungan ke Lisbon untuk berdepan Benfica (6 April) dan bertemu City dalam aksi penentu Liga Perdana di Etihad (10 April).
Reds kemudian menerima kunjungan Benfica dalam aksi kedua Liga Juara-Juara di laman sendiri pada 14 April, berdepan City sekali lagi pada separuh akhir Piala FA di Wembley (16 April) dan bertemu dua musuh ketat, Manchester United (20 April) serta Everton (24 April).
Secara keseluruhan, Liverpool perlu melakukan perjalanan 3,500 batu untuk tujuh aksi, dan Klopp mahu semua pemainnya perlu mempunyai ‘mentaliti raksasa’ bagi menyerap tekanan mental serta fizikal.
“Kita bercakap tentang empat trofi, bermakna cabaran empat kali ganda lebih hebat tapi kami percaya Reds memiliki pasukan yang mampu melakukannya.
“Terdapat hujah mengatakan pasukan yang dimiliki Liverpool sekarang adalah yang terbaik pernah kita lihat.
“Kita telah melihat ramai pemain hebat bersama Liverpool tetapi saya fikir, pasukan ini ada segala-galanya, etika yang diterapkan Jurgen sangat cemerlang,” kata penyerang legenda kelab, Robbie Fowler.
Dalam aksi di The City Ground semalam, gol tunggal Diogo Jota pada minit ke-78 memadai untuk Reds menyingkirkan Nottingham.
Roberto Firmino mengetuai serangan bersama Jota dan Harvey Elliott.
Mohamed Salah masih dalam proses pemulihan, manakala Sadio Mane dan Luis Diaz direhatkan bagi menghadapi musim yang mencabar. – AGENSI