ISKANDAR PUTERI: Sokongan padu penyokong tuan rumah meniupkan semangat Johor Tigris untuk memulakan kempen Piala Juara-Juara STL dengan kemenangan bergaya 21-13, 21-12 ke atas Negeri Sembilan (NS) Antlers dalam aksi Kumpulan A di sini sebentar tadi.
Anak-anak buah Ahmad Jais Baharun garang sejak awal permainan apabila mendahului 10-5, berterima kasih kepada ketajaman servis tekong import dari Thailand, Siwatbanchan Seekhwa.
Sorakan Boys of Straits (BOS) yang menggamatkan suasana di arena di Iskandar Malaysia Studio menjadikan persembahan pasukan pelawat itu serba tak menjadi apabila kedudukan dilebarkan kepada 15-7.
Melihatkan keadaan pasukan pelawat yang sedikit tertekan, Johor Tigris terus memanfaatkan situasi itu untuk terus melebarkan kedudukan kepada 18-10.
Rejaman yang dilakukan Muhammad Nuraizat Mohd. Nordin meletakkan penamat pada set pertama apabila setelah Johor Tigris menang 21-13.
Bagi set kedua, Negeri Sembilan Antlers sudah mula dapat membaca servis Siwatbanchan sekali gus dapat menyaingi kehebatan pasukan lawan apabila mengubah kedudukan 3-6 kepada 9-9.
Ketika motivasi pemain skuad bimbingan Shahibol Mazlan memuncak, Johor Tigris tampil dengan idea yang berbeza bagi membezakan kualiti permainan antara kedua-dua pasukan.
Muhammad Nuraizat terus menjadi duri dalam daging buat pasukan Negeri Sembilan apabila variasi serangan yang dilakukan berjaya menjarakkan kedudukan kepada 16-10.
Tekong, Muhammad Haziq Hairul Nizam yang sekali lagi dibawa masuk menggantikan Yus Hanif Rosli gagal mengubah kedudukan setelah dua servis terakhir yang tidak melepasi jaring memberikan kemenangan kepada Johor Tigris. – UTUSAN ONLINE