GEORGETOWN: Penang Black Panthers terpaksa mengubah strategi perlawanan ketika menentang Bomba Fighters dalam aksi terakhir Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 di Stadium Indera Mulia, Ipoh malam kelmarin.
Bagaimanapun, taktikal yang dirancangkan skuad Harimau Kumbang akhirnya menjadi selepas mudah menewaskan Bomba 2-0 sekali gus mengesahkan kelompok empat teratas Liga Premier musim ini.
Pengurusnya, Mohamad Azlee Ahmad Mahiudin berkata, perubahan terhadap strategi permainan terpaksa dilakukan selepas pasukan itu tewas dalam perlawanan kedua terakhir menentang Negeri Sembilan Antlers 2-1, Jumaat lalu.
“Kami kenal pasti statistik kelemahan pemain yang semakin menurun dan perbincangan telah dilakukan dengan semua barisan kejurulatihan dan pemain selama empat jam sebaik perlawanan itu berakhir.
“Emosi dan keceriaan pemain di dalam gelanggang kurang selain cepat hilang fokus sampai habis perlawanan antara faktor Black Panthers mudah tumbang di tangan lawan.
“Alhamdulillah, apa yang dirancangkan itu menjadi dan pemain berjaya mempratikkannya ketika bertemu Bomba Fighter malam tadi (kelmarin),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau memberitahu, kemenangan mudah yang diraih Black Panthers itu adalah hasil perubahan yang dilakukan bagi menaikkan semangat dan keceriaan pemain semasa di gelanggang.
“Kami berpuas hati dengan corak permainan yang dipamerkan Muhammad Zulhusni Basri (pengumpan), Aekasit Naphom (perejam) dan Zarif Merican Ibrahim Merican (tekong).
“Kami akan menggadakan lagi bentuk latihan lebih keras menjelang Piala Juara-Juara di Johor dua minggu lagi. Hanya enam daripada lapan pemain akan bermain nanti.
“Yakin dan pasti, sasaran kami adalah dinobatkan sebagai juara kali ini. Mereka, ‘ubi muda’ sebenarnya mahu buktikan produk keluaran Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara Impian,” katanya.
Penang Black Panters dengan cemerlang menduduki tangga keempat carta STL musim ini, satu anak tangga di bawah Negeri Sembilan Antlers. – UTUSAN ONLINE