IPOH: Tuan rumah, Perak Bison bangkit daripada gugup di set pertama untuk menumpaskan Putrajaya Cyborg 2-1 dalam saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 di Stadium Indera Mulia sebentar tadi.
Selepas menghadapi masalah di set pertama, trio tuan rumah terdiri daripada Meor Zulfikar Mat Amin, Mohd. Azizul Mohd Sairi, Muhammad Azwan Muhrim memperbaiki permainan mereka untuk
menguasai set kedua dan tie–break.
Trio itu tumpas set pertama 15-21 dalam tempoh 15 minit berikutan terlalu banyak kesilapan dilakukan terutama oleh Mohd. Azizul.
Dengan mendapat sokongan padu kira-kira 1,000 penyokong, pemain Bison bangkit di set kedua untuk menang 21-13.
Drama set kedua berterusan dalam set penentuan dengan kedua-dua pasukan bersaing sengit untuk mengutip mata menyaksikan mereka terikat 9-9 sebelum Perak meluru ke hadapan untuk mendahului 15-13.
Beberapa kesilapan oleh trio Cyborg terdiri daripada Mohd. Syahril Rosdi, Muhammad Amar Putra dan Muhammad Suhairi Sulaiman yang jelas tertekan, terus memberi laluan kepada Bison melakar kejayaan 21-16.
Dengan kejayaan ini Perak menghidupkan menghidupkan peluangnya mengelak penyingkira dengan syarat menang ke atas Kelantan Warriors petang esok.
Kelantan juga pasti ingin menang bagi mengelak menamat cabaran di tangga tercorot. – UTUSAN ONLINE