PETALING JAYA: Masalah yang dihadapi Harimau Malaya tidak akan selesai jika kelab-kelab tempatan masih gemar memberi kepercayaan kepada pemain import bagi mengisi posisi penting apabila Liga Malaysia (Liga M) musim 2022 membuka tirai esok.
Setiap pasukan Liga Super dibenarkan mendaftar lima import, manakala empat pemain luar dibolehkan untuk kelab yang bersaing dalam Liga Perdana.
Kebanyakan pasukan cenderung meletakkan tonggak luar di posisi utama, terutama serangan sehingga menyukarkan pemain tempatan mendapat minit permainan mencukupi.
Keadaan itu menyebabkan pemilihan skuad kebangsaan berdepan kesukaran, kata bekas jurulatih Harimau Muda, Azraai Khor Abdullah.
Katanya, pasukan perlu memberi peranan lebih besar kepada pemain tempatan bagi memudahkan tugas Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon memilih tonggak kebangsaan.
“Semua pasukan perlu memberi kerjasama kerana perlawanan-perlawanan Liga M yang berlangsung nanti akan turut ditonton jurulatih kebangsaan yang baharu. Dia dalam proses mencari pemain untuk aksi persahabatan Mac ini.
“Kalau pasukan terus membariskan ramai pemain import dalam satu perlawanan, ia akan memberi masalah yang sama kepada skuad kebangsaan iaitu kekurangan penyerang tempatan yang hebat.
“Kehadiran ramai penyerang import sedikit sebanyak menjejaskan peluang pemain tempatan untuk mendapat lebih minit permainan dan menyerlah dalam liga.
“Kalau banyak pasukan menggunakan import, macam mana Pan Gon nak pilih pemain, jadi benda yang sama akan berulang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Malaysia dijadual bertemu Filipina pada 23 Mac, diikuti Singapura, tiga hari kemudian dalam aksi persahabatan di Singapura sebagai persiapan Kelayakan Piala Asia 2023 di Bukit Jalil, Jun depan.
Azraai percaya, tiba masanya peraturan Liga M diubah dengan mengurangkan kuota import bagi membolehkan anak tempatan mendapat lebih minit permainan.
“Saya melihat, perlu ada perubahan dalam sistem Liga M, mungkin mengurangkan daripada lima import kepada tiga seperti pada zaman saya.
“Pada awal 2000, sekurang-kurangnya ada pemain tempatan dapat beraksi bersama import di setiap posisi seperti pertahanan tengah dan penyerang,” jelasnya.
Azraai turut berharap semua pasukan melepaskan pemain yang diinginkan Pan Gon untuk skuad kebangsaan.