KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) boleh menarik nafas lega untuk tempoh tiga tahun akan datang apabila menerima penajaan ‘terbesar sejak penubuhan BAM’ daripada syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas).
Walaupun jumlah penajaan tidak didedahkan, namun Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, ia adalah yang terbesar pernah diterima dalam tempoh empat dekad, sekali gus menaikkan semangat mereka untuk meneruskan usaha melahirkan lebih ramai jaguh dunia.
Katanya, penajaan ini juga menyuntik semangat mereka untuk memburu pingat emas pertama Sukan Olimpik.
“Sejak penubuhan BAM, ini adalah paling besar membabitkan penajaan. Penajaan ini beri peluang kepada kita untuk terus kekal fokus kepada sasaran iaitu Olimpik Paris 2024.
“Matlamat utama kita adalah untuk melahirkan pemain bertaraf dunia dan seperti yang sering saya katakan percaya kepada proses yang sudah kita lakukan.
“Saya harap penajaan ini dapat memberi motivasi kepada semua terutama pemain untuk terus memberikan terbaik kepada negara,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian rakan kongsi antara BAM dan Petronas hari ini.
Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Jenama Petronas, Khairul Hisham Maslan syarikat tersebut tidak akan memberi tajaan sewenangnya, sebaliknya menetap beberapa kriteria sebelum menyalurkan peruntukan.
Antara kriteria ditetapkan adalah komitmen yang ditunjukkan badan induk sukan berkenaan dalam usaha untuk membangunkan pemain akar umbi, selain penajaan terbabit turut memberi pulangan kepada syarikat.
“Oleh sebab Petronas merupakan jenama global, sudah tentu kami di BAM rasa sangat bertuah mendapat tajaan daripada organisasi berkelas dunia. Inilah tajaan yang akan memberi peluang kepada kita untuk kekal fokus dengan perancangan kita ke Paris 2024 nanti.
“Daripada 13 pingat yang pernah kita peroleh dalam semua siri Olimpik yang disertai, 9 daripadanya adalah dari badminton. Kita memang obses mahukan pingat emas pertama melalui sukan badminton dalam siri yang akan datang,” kata Mohamad Norza. – UTUSAN ONLINE