Azizulhasni, Cheong Min atlet terbaik kebangsaan 2019/2020

Azizulhasni, Cheong Min atlet terbaik kebangsaan 2019/2020

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan trofi anugerah Olahragawati Kebangsaan kepada atlet wusyu, Tan Cheong Min. Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua kanan); Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kiri) dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker (kanan) pada majlis Anugerah Sukan Negara 2019/2020. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ja­guh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang dan bintang wusyu, Tan Cheong Min memahat sejarah tersendiri apabila dinobat sebagai atlet terbaik Anugerah Sukan Kebangsaan (ASN) 2019/2020 malam ini.

Kejayaan Azizulhasni meng­ungguli anugerah itu membolehkan menyamai rekod dua legenda badminton, Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Rashid Sidek muncul Olahragawan Kebangsaan empat kali selepas menang pada 2009, 2010 dan 2017.

Pencapaian Cheong Min pula amat bermakna apabila dia muncul atlet wusyu pertama (lelaki atau wanita) dinobat sebagai Olahragawati Kebangsaan dalam sejarah 56 tahun ASN yang diper­kenalkan pada 1966.

Kemenangan itu memboleh­kan mereka pulang bersama RM20,000, malah R. Suresh (memanah) turut menerima habuan sama atas kejayaan muncul Olahragawan Para­limpik.

Kejayaan meraih dua gangsa pada Kejohanan Dunia di Berlin 2020 dalam acara pecut dan keirin, serta emas acara pecut Kejohanan Berbasikal Asia 2019 membolehkan Azizulhasni mengetepikan empat calon lain Syarul Azman Mahen Abdullah (bina badan), Khairul Anuar Mohamad (memanah), Tan Chye Chern (boling) dan Wong Weng Son (wusyu).

Cheong Min yang meraih emas (Nandao) dan perak (Nanquan) pada Kejohanan Dunia Ke-15 di Shanghai, China 2019 menewaskan ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong, Siti Zalina Ahmad (boling padang), Sin Li Jane (boling) dan Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik).

Majlis anugerah diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya