BARCELONA: Xavi Hernandez berkata, Pierre-Emerick Aubameyang ibarat hadiah yang jatuh dari langit selepas bekas bintang Arsenal itu meledak gol keenamnya sejak tiba di Camp Nou ketika membantu Barcelona membelasah Osasuna 4-0 dalam saingan La Liga semalam.
Aubameyang, 32, menambah gol ketiga pasukannya pada minit ke-27 selepas Ferran Torres meledak dua gol tuan rumah di minit ke-14 dan 21.
Pemain gantian, Riqui Puig melengkapkan kemenangan selesa Barca di separuh kedua, sekali gus merapatkan jurang di belakang pasukan tempat kedua, Sevilla dengan lima mata.
Barca telah meledak empat gol dalam empat daripada sembilan perlawanan terakhir, sekali gus menyelesaikan isu serangan tumpul.
Semua pemain yang dibawa masuk pada Januari, diketuai Aubameyang, Torres dan Adama Traore telah mengubah serangan mereka.
“Aubameyang adalah hadiah yang jatuh dari langit.
“Ia bukan sahaja tentang gol tetapi cara dia berlatih dan sikap profesionalnya. Dia contoh kepada semua pemain,” kata pengendali Barcelona, Xavi.
Aubameyang menyertai Barcelona secara percuma selepas kontraknya ditamatkan Arsenal kerana tidak sehaluan dengan pengurus, Mikel Arteta.
Barca menghuni tangga kesembilan ketika Xavi tiba di Camp Nou, November tahun lalu, namun legenda kelab itu berjaya merubah nasib pasukan yang kini tidak kalah dalam 12 aksi liga.
Bagaimanapun, mereka masih 12 mata di belakang pendahulu, Real Madrid yang akan ditentang dalam aksi El Clasico di Bernabeu minggu depan.
“Menjuarai La Liga musim ini sangat sukar sekali pun kami berjaya mengalahkan Madrid kerana mereka jarang kalah dan mendahului liga dengan jurang besar,” kata Xavi. – AGENSI