ISTANBUL: Pierre-Emerick Aubameyang meledak gol ketujuh daripada 10 perlawanan bersama Barcelona untuk membantu gergasi bola sepak Sepanyol itu menumpaskan Galatasaray 2-1 dan mara ke suku akhir Liga Europa hari ini.
Selepas terikat tanpa jaringan di Camp Nou minggu lalu, Barca dikejutkan apabila ketinggalan menerusi tandukan Marcao pada minit ke-28 di Istanbul.
Bagaimanapun pemain 19 tahun, Pedri menyamakan kedudukan sebelum rehat dan memasuki babak kedua, Aubameyang meledak gol ketujuhnya untuk kelab selepas menyempurnakan umpanan Frenkie de Jong.
Kemenangan ini menyuntik semangat Barcelona untuk berdepan pendahulu La Liga, Real Madrid dalam pertembungan El Clasico di Santiago Bernabeu Ahad ini.
Menang atau kalah perlawanan itu tidak banyak merubah nasib Barca yang sudah ketinggalan 15 mata di belakang Real, namun sekurang-kurangnya menaikkan keyakinan mereka untuk mengharungi saingan musim ini.
“Kami menunjukkan persembahan hebat dan berjaya bangkit menentang pasukan terbaik di atas padang mereka yang sangat mencabar,” kata pengendali Barcelona, Xavi Hernandez.
Dalam satu lagi perlawanan, West Ham melakar kemenangan sensasi ke atas juara enam kali, Sevilla 2-0 di Stadium London untuk mara ke suku akhir menerusi agregat 2-1.
Ketinggalan 1-0 pada perlawanan pertama, anak-anak buah David Moyes menyamakan kedudukan secara agregat menerusi Tomas Soucek pada minit ke-39.
Andriy Yarmolenko meledak gol kemenangan The Hammers, dan gol keduanya minggu ini untuk membawa West Ham mara ke suku akhir kejohanan Eropah buat kali pertama sejak 1981. – AFP