JOHOR BAHRU: ATM Guardians mahu melengkapkan musim sempurna pasukan dengan menjuarai Piala Juara-Juara setelah memenangi Liga Premier, bulan lalu.
Pengurus pasukan, Mohd. Khairul Amin Johdi berkata, kejayaan bergelar juara Premier, Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 selepas tiga musim berturut-turut sekadar muncul naib juara menjadi pembakar semangat buat pemain yang dahagakan kemenangan.
“Saya menganggap tahun ini adalah tahun bertuah kami apabila muncul juara Premier setelah tiga kali sekadar muncul naib juara.
“Jadi, bagi melengkapkan musim gemilang ini, kita akan tumpu untuk memenangi kejuaraan Piala Juara-Juara yang membuka tirainya esok,” katanya semalam.
Khairul Amin tidak melihat ATM akan mendapat laluan mudah memandangkan Negeri Sembilan (NS) Antlers dan Johor Tigris masing-masing memperkuat pasukan dengan membawa masuk pemain baharu.
Katanya, pasukan juga perlu berhati-hati dengan cabaran pasukan KPT-Masum Knights kerana tidak pernah bertemu pasukan itu sebelum ini yang dilihat mampu menjelmakan elemen kejutan.
“Saya meletakkan harapan yang menggunung buat pemain untuk melangkah ke pentas akhir dalam kejohanan ini, harapnya impian untuk bergelar juara menjadi nyata,” katanya.
Tambahnya, ATM masih mempertaruhkan pemain sama iaitu kapten ATM, Nor Faizzul Razak, Afifuddin Razali dan Adam Aiman Zainol yang membantu pasukan menamatkan kemarau trofi dalam saingan Liga Premier.
ATM akan memulakan saingan kejuaraan Piala Juara-Juara menentang KPT-MASUM Knights dan satu lagi pertemuan Kumpulan A menyaksikan pertembungan Negeri Sembilan Antlers menentang Johor Tigris hari ini.