LONDON: Pengendali Arsenal, Mikel Arteta menegaskan, sejarah gemilang pasukannya membuktikan mereka ‘wajib’ beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah.
Gunners kini berada di landasan terbaik untuk layak ke saingan kelab elit Eropah itu selepas kembali ke kelompok empat terbaik Liga Perdana Inggeris dengan menumpaskan Leicester City 2-0 semalam.
Jaringan Thomas Partey dan Alexandre Lacazette membolehkan Arsenal memintas Manchester United dengan kelebihan satu mata, namun mereka memiliki kelebihan tiga perlawanan dalam tangan.
Gunners kini menang lima perlawanan berturut-turut, malah memenangi sembilan daripada 11 perlawanan terakhir Liga Perdana.
“Kami perlu dan sepatutnya berada di sana. Sejarah kelab ini mewajibkan kami untuk berada di sana tetapi setakat ini kami belum layak dan masih banyak perlawanan untuk diharungi.
“Kami memiliki kumpulan pemain yang hebat di kelab dan mereka percaya dengan apa yang kami lakukan.
“Anda perlu meraih keputusan yang baik. Beberapa bulan kebelakangan ini kami lebih konsisten,” katanya.
Partey meletakkan Arsenal di depan pada minit ke-11 berpunca dari sepakan penjuru Gabriel Martinelli.
Lacazette kemudian mengukuhkan kedudukan apabila menambah gol kedua menerusi sepakan penalti minit ke-59. – AGENSI