ALOR SETAR: Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak mengakui skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon kini menampilkan perwatakan berbeza berbanding penampilan terakhir pada Piala AFF, Disember lalu.
Justeru katanya, pertembungan Malaysia menentang pasukan tanah kelahirannya, Singapura malam ini dijangka cukup menarik ketika Stadium Nasional Singapura sentiasa membawa kelebihan kepada pasukan tuan rumah.
Katanya, kalangan pemain Malaysia dilihat jelas lebih ‘bernafsu’ untuk menampilkan aksi terbaik dan mencari jaringan buat pasukan ketika mengalahkan Filipina, Rabu lalu.
“Mungkin mereka mahu buktikan sesuatu kepada jurulatih baharu. Itu sesuatu yang normal namun apa yang lebih penting adalah, skuad Malaysia kali ini nampak sangat positif dari beberapa aspek.
“Saya fikir perlawanan esok akan berlangsung seimbang. Sudah tentu kelebihan ada pada Singapura kerana Stadium Nasional sentiasa tampak memberi kekuatan kepada pasukan itu namun dalam bola sepak segalanya boleh berlaku dengan Malaysia juga tampak sudah mendapat momentum kemenangan apabila menundukkan Filipina,” katanya.
Beliau ditemui Utusan Malaysia pada Majlis Pelancaran Jersi Ketiga KDA FC di Football Republic di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Aidil berkata, semua pihak boleh menjangkakan aksi yang menarik daripada perlawanan itu ketika kedua-dua pasukan dilihat cukup selesa mengamalkan corak permainan menyerang.
“Mengenai Syafiq Ahmad pula, dia jelas menunjukkan betapa dirinya seorang pemain yang sangat penting buat KDA FC dan Malaysia dalam perlawanan sebelum ini. Namun jangan lupa, ketika ini dia baru saja bermain selama 90 minit dalam beberapa perlawanan.
“Jangan terlalu letakkan tekanan kepadanya kerana kita perlu memberikannya peluang untuk beraksi selama 90 minit lebih banyak. Mungkin selepas enam atau tujuh perlawanan lagi dia diberi peluang sebegitu, kita akan dapat melihat prestasinya bertambah baik dalam perlawanan demi perlawanan,” katanya.
Sementara itu bekas tonggak utama skuad kebangsaan, Mohd. Azamuddin Akil turut mengakui akan perubahan ditunjukkan pasukan negara di bawah pimpinan Pan Gon.
“Taktikal menyerang yang dimainkan tampak bagus dengan pemain yang terpilih juga jelas memberikan komitmen 100 peratus. Kalau prestasi seperti ketika bertemu Filipina itu dikekalkan, insya Allah pasukan ini boleh pergi jauh.
“Pemilihan pemain untuk menyertai pasukan kali ini juga baik. Kehadiran Safiq Rahim contohnya, semua orang tahu dia merupakan pemain tengah terbaik yang kita ada dan dia jelas memberi komitmen tinggi bersama rakan-rakan lain dalam skuad kebangsaan kali ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE