PETALING JAYA: Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari A (AMD A) menepati ramalan apabila menjuarai Kejohanan Bola Sepak Inter Club Football League (ICFL) Kelantan B16 Peringkat Kebangsaan 2022 di Tanah Merah, Kelantan selepas menumpaskan Grey United A 1-0 baru-baru ini.
Pasukan yang dilahirkan oleh AMD terus mempamer kecemerlangan selepas skuad B mereka menamatkan kempen di tangga ketiga dengan mengetepikan Mutiara Soccer Allstar di tempat keempat.
Kejohanan anjuran ICFL yang berlangsung pada 1 hingga 3 Mac itu mendapat kerjasama Grey United Football Club (Grey United FC) dengan sokongan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Sukan Negeri Kelantan (MSNK).
“Bagi menghargai keringat pemain, kejohanan turut memperkenalkan kategori ‘Loserpool’ membabitkan dua pasukan terbawah daripada peringkat kumpulan. Juara kategori ini dimenangi Grey United B dan tempat kedua Junior Mutiara FC.
“Tempat ketiga pula dimenangi Afza United FC dan tempat keempat disandang oleh MSN Melaka B,” kata Presiden ICFL, Datuk Kamil Mokhtar dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Kamil, selepas ini, Kejohanan Bola Sepak ICFL B16 akan diteruskan ke Zon Timur, Zon Utara dan serta Tengah (Kuala Lumpur), dan pemenang dari empat zon ini akan dihantar untuk bertanding di peringkat Asia Tenggara.
“Kami juga sedang menuju kehadapan untuk mencari dan mencungkil bakat-bakat yang ada dalam sesebuah pasukan. Pada pandangan saya, setiap pasukan pasti ada individu yang mempunyai skil bagus namun bakat mereka tidak dapat diketengahkan.
“ICFL akan sentiasa menyokong sebarang program pembangunan bola sepak negara. Kami akan membantu melahirkan bintang-bintang bagi mencapai matlamat dan impian anak-anak muda yang ingin menjadi pemain professional satu hari nanti.
“Itulah tujuan ICFL anjurkan banyak kejohanan di peringkat zon dan kebangsaan untuk menilai dan memilih pemain yang berkaliber dan berbakat. Dari sini akan lahirlah belia remaja yang ada keazaman untuk bergelar pemain bola sepak professional.
Dalam pada itu katanya, Misi dan visi ICFL kami semakin hampir tercapai untuk bersaing diperingkat tertinggi dan pada Jun nanti, satu pertandingan membabitkan pasukan Indonesia dan Thailand akan diadakan di Kuala Lumpur. – UTUSAN ONLINE