LONDON: Roman Abramovich menyasarkan pembeli dari Amerika Syarikat (AS) berbanding pelabur China, Eropah Timur atau Asia Barat untuk membeli Chelsea tidak lama selepas mengesahkan mahu menjual gergasi bola sepak Liga Perdana Inggeris itu.
Jutawan Rusia tersebut menetapkan sehingga hari ini untuk membuka tawaran bernilai 3 bilion pound (RM16.85 bilion) dan mengesahkan Chelsea tidak perlu membayar hutang 1.5 bilion (RM6.9 bilion) yang telah dipinjamkannya sepanjang 19 tahun menjadi pemilik juara Eropah itu.
Abramovich dikatakan telah menawarkan Chelsea kepada konsortium yang dimiliki bersama oleh hartawan AS, Todd Boehly dan Hansjorg Wyss dari Switzerland.
Boehly yang memiliki pegangan dalam kelab bola keranjang terkemuka, Los Angeles (LA) Lakers, selain kelab besbol, LA Dodgers pernah menawar diri untuk membeli Chelsea dengan harga 3 bilion pound pada 2019, namun ditolak oleh Abramovich ketika itu.
Abramovich bagaimanapun bersedia untuk melepaskan Blues kali ini dalam usaha menyelamatkan kelab kerana bimbang dia akan dikenakan sekatan oleh kerajaan Britain ekoran pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
Lelaki terkaya Britain 2018, Sri Jim Ratcliffe yang memiliki aset 6.33 bilion pound (RM35.56 bilion) dan terkenal sebagai penyokong setia Chelsea turut antara pembeli, selain hartawan AS, Stephen Ross yang mempunyai harta 6 bilion pound (RM33.70 bilion).
Bagaimanapun semalam, ikon UFC, Conor McGregor mencetuskan idea sensasi apabila menyatakan minat untuk membeli Blues dan sedia membincangkan perkara itu dengan Abramovich.
“Saya ini menjelaskan segala spekulasi yang berlegar di media sejak beberapa hari lalu berhubung pemilikan saya terhadap Chelsea FC. Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, saya sentiasa mengambil keputusan demi kepentingan kelab.
“Dalam situasi semasa, saya telah mengambil keputusan untuk menjual kelab, kerana saya percaya ini adalah untuk kepentingan terbaik kelab, peminat, pekerja serta penaja dan rakan kongsi kelab,” kata Abramovich dalam satu kenyataan.
Abramovich memberitahu hasil jualan bersih akan didermakan kepada yayasan yang ditubuhkan untuk membantu mangsa perang di Ukraine, termasuk menyediakan dana kritikal bagi keperluan mangsa serta menyokong kerja pemulihan jangka panjang.
Permintaan harga 3 bilion hampir mencecah empat kali ganda daripada nilai pengambil alihan kelab bola sepak termahal sebelum ini iaitu 790 juta (RM3.7 bilion) yang dibelanjakan oleh keluarga Glazer untuk memiliki Manchester United pada 2005. – AGENSI