Aaliyah Yoong pamer prestasi luar biasa di Melbourne - Utusan Malaysia

Aaliyah Yoong pamer prestasi luar biasa di Melbourne

AALIYAH Yoong Hanifah merangkul penamat podium peringkat dunia pertamanya dalam kategori terbuka dengan meraih satu emas dan satu gangsa pada kejohanan Moomba Masters 2022 di Melbourne semalam. - IHSAN FB HANIFAH YOONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ratu ski air negara, Aaliyah Yoong Hanifah menutup kempen Moomba Masters 2022 dengan prestasi luar biasa apabila memenangi pingat emas keseluruhan dan gangsa acara tricks terbuka wanita di Melbourne, semalam.

Bintang remaja berusia 18 tahun itu berjaya meraih emas selepas mencatat 2,668.52 mata keseluruhan, mengatasi Gonzalez Valentina dari Chile (2,323.40), manakala peluncur New Zealand, Willian Courtney (2,082.85) meraih gangsa.

Aaliyah turut mempamer aksi luar jangka dengan meraih gangsa acara tricks terbuka wanita selepas cemerlang mengumpul 7,050 mata pada pusingan akhir yang berlangsung di Sungai Yarra.

Pingat emas dimenangi peserta Kanada, Ross Neilly (10,390) dan Erika Lang dari Amerika Syarikat ketiga menerusi 10,260.

Membuat penampilan ke-10 di Moomba Masters, Aaliyah melakar keputusan paling cemerlang dalam kariernya selepas sebelum ini turut merangkul tiga emas dalam acara jump, tricks dan keseluruhan, selain satu gangsa slalom bagi kategori remaja minggu lalu.

“Ini Kejohanan Moomba Masters terbaik pernah saya sertai. Apa yang pasti minggu ini cukup luar biasa buat saya dan kemuncaknya apabila menduduki tempat ketiga acara tricks terbuka wanita, yang merupakan kedudukan podium peringkat dunia pertama saya bagi kategori terbuka.

“Saya juga gembira berjaya melakukan dua lompatan peribadi terbaik berturut-turut iaitu 39.1 meter (m) dan 41.4m bagi kategori remaja, sekali gus memecah rekod kebangsaan dua kali dalam tempoh dua hari.

“Saya sangat gembira dengan prestasi saya di sini dan ini sudah tentu meningkatkan lagi keyakinan saya pada masa depan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Persekutuan Ski Air dan Papan Luncur Malaysia (MWWF), Hanifah Yoong yang juga bapa Aaliyah gembira dengan prestasi menakjubkan bintang remaja itu.

“Ini ujian terbaik pada usianya sekarang dan dia membuktikan daya saingnya di peringkat dunia dengan memasuki pusingan akhir bagi acara tricks dan jump kategori terbuka.

“Aaliyah juga membuktikan dia semakin berdikari dan boleh menguruskan acaranya sendiri selepas pergi ke Melbourne bersendirian,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya