Zii Jia tewaskan juara dunia, peluang Malaysia ke separuh akhir cerah - Utusan Malaysia

Zii Jia tewaskan juara dunia, peluang Malaysia ke separuh akhir cerah

LEE Zii Jaa tidak berdepan masalah menundukkan juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew dalam masa 30 minit.- UTUSAN/SHIDIQIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Malaysia mencerahkan peluang untuk mara ke separuh akhir selepas mengetepikan Singapura 5-0 dalam saingan lelaki Kumpulan B pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City dekat sini, sebentar tadi.

Skuad kebangsaan yang menurunkan barisan terkuat menentang pasukan dari negara jiran itu mempertaruhkan Lee Zii Jia sebagai perseorangan pertama Malaysia.

Aksi pembukaan yang melibatkan pertembungan antara pemenang All England itu dan juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew seperti diramal menjadi tumpuan peminat badminton tanah air.

Bermain di laman sendiri ternyata memberi suntikan semangat tambahan buat Zii Jia menang straight set 21-6, 21-14 ke atas Kean Yew dalam perlawanan yang mengambil masa selama 30 minit.

Selepas itu, beregu utama Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik juga tidak berdepan sebarang masalah untuk menang ke atas Danny Bawa Chrisnanta-Wesley Koh 21-14, 21-12 bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Ng Tze Yong yang menggalas cabaran sebagai perseorangan kedua membuat penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan cemas seketika apabila pemain No. 47 dunia itu diberi tentangan sengit oleh pemain Singapura, Jason Teh sebelum menang 17-21, 24-22, 21-19.

Pertemuan yang memakan masa selama 1 jam 18 minit itu akhirnya menghadiahkan mata kemenangan 3-0 buat skuad kebangsaan.


Beregu kedua negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani turut menyumbang mata apabila mereka menang 21-10, 21-13 ke atas Terry Hee-Andy Kwek.- UTUSAN/SHIDIQIN ZON

Walaupun kemenangan telah menjadi milik mutlak Malaysia, beregu kedua negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani tetap mahu menjadi penyumbang mata apabila mereka menang 21-10, 21-13 ke atas Terry Hee-Andy Kwek.

Mendahului selesa 4-0, Leong Jun Hao yang turun beraksi sebagai perseorangan terakhir melengkapkan kemenangan bergaya Malaysia 5-0 apabila dia menewaskan Joel Koh 21-17, 22-20.

Sementara itu, Tze Yong ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berkata, dia tidak berpuas hati dengan persembahannya, hari ini.

“Saya hanya sempat membuat persediaan selama seminggu, keadaan fizikal saya tidak berapa bagus,” katanya.

Selepas tewas set pertama, Tze Yong berkata, dia berusaha keras untuk bangkit dan enggan mudah menyerah kalah.

Pemain berusia 22 tahun itu berharap, untuk perlawanan kedua menentang Kazakhstan, esok prestasinya akan dapat dipertingkatkan berbanding aksinya, hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya