IPOH: Kurang sebulan lagi Liga Malaysia (Liga M) 2022 akan membuka tirai, namun pasukan Perak FC masih dibelenggu isu tunggakan gaji.
Jangkaan tunggakan selesai pada 30 Januari lalu meleset apabila Perak FC dikatakan gagal melangsaikan tunggakan gaji pemain untuk bulan November dan Disember 2021.
Senario itu jelas membayangkan keperitan bakal dihadapi pemain skuad Seladang bagi menghadapi kempen Liga Perdana musim ini.
Belum pun musim baharu bermula, mereka terus dipalit isu hutang lapuk yang meruntun perasaan dan emosi pemain skuad The Bos Gaurus.
“Pemilik Perak FC, Impact Media Communications Sdn. Bhd. (IMC) sepatutnya melunaskan baki tunggakan hujung bulan Januari.
“Kemudian mereka kata akan berbuat demikian pada hari Isnin (7 Januari) tetapi sampai hari ini gagal berbuat demikian.
“Tidak tahulah apa sebabnya kerana tiada sebarang penjelasan.
“Tidak mungkin IMC tidak ada wang, jika tidak mampu kenapa sanggup beli pasukan.
“Kami tidak mahu diheret lagi ke dalam kemelut kewangan ini, cukup cukuplah,” kata sumber kepada Mingguan Malaysia.
Sementara itu, usaha Mingguan Malaysia untuk mendapatkan penjelasan pihak pengurusan IMC tidak berjaya apabila beberapa panggilan telefon tidak dijawab.
Jika Perak masih gagal melunaskan tunggakan gaji dalam masa terdekat, mereka mungkin mengundang padah kerana tarikh akhir pendaftaran pemain adalah 22 Februari ini.
Selain Perak FC, UiTM FC juga difahamkan berdepan masalah menjelang tarikh tutup pendaftaran pemain susulan pengambilan pemilik baharu belum muktamad dan ketika ini pemain sedia ada dikatakan belum menandatangani kontrak walaupun sudah tiga minggu berlatih.