IPOH: Perak FC yakin mampu selesaikan ‘hutang’ bernilai RM1.7 juta dalam tempoh seminggu.
Ahli Lembaga Pengarah (BOD) Perak FC, Datuk Seri G. Irudianathan berkata, jaminan itu diberikan oleh pemilik baharu kelab, Impact Media Communications Sdn. Bhd. (IMC).
Hutang berkenaan membabitkan tunggakan gaji beberapa tonggak import, pemain tempatan selain turut melibatkan pembayaran kepada ejen pemain.
Kegagalan menyelesaikan tunggakan dua bulan baji musim lalu lalu menyebabkan skuad Seladang ketika ini disekat oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) daripada mendaftarkan pemain baharu.
Dengan tarikh tutup pendaftaran berbaki 10 hari lagi, IMC perlu menyelesaikan hutang dalam tempoh terdekat .
Jika gagal berbuat demikian, Perak perlu beraksi dengan pemain sedia ada bagi mengharungi saingan Liga Perdana.
Menurut Irudianathan yang dilantik sebagai Timbalan Presiden baharu Persatuan Bolasepak Perak (Pafa) dalam kongres tahunan ke-63 semalam, jika gagal melunaskan hutang seperti ditetapkan Perak FC akan mengguna khidmat pemain dari skuad Piala Presiden dan juga Belia.
Perak FC yang bakal beraksi di Liga Perdana setakat ini membawa masuk jurulatih baharu Yusri Che Lah, Perak FC juga bakal dibarisi oleh ramai muka baharu.
Antara pemain yang menyertai skuad Bos Gaurus adalah Indra Putra Mahayuddin yang dibawa masuk dari Kuala Lumpur (KL) City serta bekas pemain kebangsaan, Wan Zack Haikal Wan Noor.
Selain itu, rakan sepasukan Indra Putra di KL City, Zamir Selamat dan Aris Asri dilaporkan turut berpindah ke Perak musim ini.
Sementara itu, Pemangku Presiden, Datuk Mohamad Yadzan Mohamad dilantik sebagai Presiden baharu Pafa dalam Kongres tahunan badan induk bola sepak Perak itu semalam.
Yadzan yang juga Naib Presiden I Pafa sebelum ini menang tanpa bertanding apabila dipilih sebulat suara oleh 12 perwakilan dari empat ahli gabungan.
Naib Presiden III, Irudianathan pula menang kerusi Timbalan Presiden juga dengan tanpa bertanding.
Apapun pemilihan mereka itu pasti menimbulkan kemelut baharu dalam bola sepak Perak kerana kini Pafa ibarat satu kapal mempunyai dua nahkoda .
Sebelum ini Ahli Dewan Undangan (Adun) Changkat Jong, Datuk Mohd. Azhar Jamaluddin dilantik sebagai Presiden Pafa dalam Kongres Luar Biasa persatuan itu pada Disember lalu.