VILA-REAL, Sepanyol: Dusan Vlahovic meledak gol buat Juventus hanya 32 saat selepas membuat penampilan sulung bersama gergasi bola sepak Itali itu dalam saingan Liga Juara-Juara ketika mengikat Villarreal 1-1 awal pagi tadi.
Juventus bagaimanapun perlu bekerja lebih keras untuk melepasi peringkat 16 terakhir apabila menerima kunjungan Villarreal di Turin, 17 Mac depan kerana mempamer aksi kurang meyakinkan di Sepanyol.
Vlahovic yang melengkapkan perpindahan ke Juventus bulan lalu menemui sudut gawang menerusi sentuhan keduanya di La Ceramica, namun permulaan sensasi buat Juventus dan bintang muda Serbia itu dalam Liga Juara-Juara tidak cukup untuk memberikan kemenangan buat pasukannya.
Pemain Villarreal, Daniel Parejo sebaliknya berjaya menyamakan kedudukan pada babak kedua untuk membawa bekalan menjelang pertemuan kedua di Turin.
Pada usia 22 tahun 25 hari, Vlahovic muncul pemain kedua termuda menjaringkan gol dalam penampilan pertama Liga Juara-Juara buat Juventus selepas Alessandro Del Piero pada usia 20 tahun.
“Dia masih muda, ini adalah perlawanan Liga Juara-Juara pertamanya. Bayangkan apa yang menanti pada masa depannya,” kata penyerang Juventus, Alvaro Morata.
Vlahovic ditandatangani pada harga 70 juta euro (RM331.91 juta) dari Fiorentina bulan lalu dan Juventus meraikan kehadiran seorang daripada pemain muda paling berbakat. – AGENSI