PETALING JAYA: Apakah semua 144 atlet yang digugurkan sebelum ini bakal diserap semula dalam program latihan kebangsaan? Siapa yang akan kembali ditawarkan kontrak baharu?
Semua persoalan itu harus dijawab segera agar tidak memberi harapan menggunung kepada atlet dan membuatkan mereka tertunggu-tunggu, tegas bekas pemain skuasy No. 5 dunia, Low Wee Wern.
Wee Wern, 32, antara atlet yang digugurkan daripada program tersebut bulan lalu berkata, dia hanya mengetahui mengenai perkara itu menerusi media dan tidak tahu mengenai butiran lanjut mengenai bagaimana mereka yang sebelum ini tidak disambung kontrak akan diserap semula.
“Saya memang ada dengar, tetapi saya tidak tahu secara rasmi, cuma baca melalui media. Kalau benar ini memang berita baik untuk sukan negara.
“Bagaimanapun kalau boleh saya harap pihak yang terlibat umumkan segera senarai nama atlet yang terpilih semula, jangan buat atlet tertunggu-tunggu, kasihan kepada mereka yang terlibat.
“Pengumuman kerajaan ini sudah tentu akan membuat atlet yang digugurkan kembali berharap. Saya faham keadaan ekonomi tidak menentu sehingga menjejaskan kedudukan kewangan.
“Cuma jangan bagi harapan kepada atlet, pasti ada yang dilema sama ada hendak teruskan latihan atau tidak, kalau benar ia berlaku, maka, bolehlah kami terus berlatih,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Kelmarin, Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, mereka akan menilai semula kontrak 144 atlet yang ditamatkan bulan lalu dan bersama tawaran baharu selepas menerima peruntukan tambahan, malah Kabinet bersetuju meneruskan Program Podium sehingga 2025 dengan dana keseluruhan RM240 juta.
Menurut Wee Wern, apa yang menjadi kebimbangannya ialah pengumuman tersebut akan meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepada atlet yang mengharapkan nama mereka berada dalam senarai baharu tersebut.
Wee Wern yang mengibarkan Jalur Gemilang di pentas antarabangsa sejak usianya 17 tahun memberitahu, dia sanggup menjalani pembedahan lutut, Oktober lalu demi rasa sayangnya terhadap sukan skuasy dan masih mahu mewakili Malaysia.
“Kalau saya tahu semua ini hendak terjadi, tak perlu saya susah-susah menjalani pembedahan. Saya masih berminat untuk mewakili negara, saya tak bedah lutut kalau saya tak nak lagi bermain,” katanya. – UTUSAN