PETALING JAYA: Penganjuran tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) akan dibuat secara penggiliran dan hak tuan rumah diputuskan secara bersama dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang dianggotai wakil semua 14 negeri.
Majlis Sukan Negara (MSN) dalam satu kenyataan hari ini berkata, pendekatan diambil ialah mengikut sistem penggiliran zon dan setiap negeri diberi peluang menjadi tuan rumah temasya yang menjadi platform pertandingan bagi atlet di bawah umur 21 tahun.
“Sistem zon ini dibahagikan kepada lima iaitu Zon Utara (Kedah, Perlis, Pulau Pinang), Zon Selatan (Negeri Sembilan, Melaka, Johor), Zon Timur 1 (Pahang, Terengganu, Kelantan), Zon Timur 2 (Sabah, Sarawak) dan Zon Barat (Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan),” kata MSN dalam satu kenyataan selain menyatakan sistem pusingan tuan rumah ini mula dilaksanakan di Sabah pada 2002.
Dua bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini bercanggah pendapat mengenai hak penggiliran penganjuran Sukma kepada negeri Kelantan.
Khairy yang memegang portfolio menteri KBS dari 2013 menyangkal kenyataan Syed Saddiq dalam satu hantaran Tiktok yang mendakwa beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan pertama mengembalikan semula hak penganjuran Sukma kepada Kelantan.
Khairy yang ketika ini memegang jawatan Menteri Kesihatan menegaskan, Kelantan pernah ditawarkan untuk menjadi tuan rumah temasya berkenaan melalui beberapa Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma selepas temasya Perlis 2014 berjaya dianjurkan dengan cemerlang.
“Mengikut sistem penggiliran tuan rumah, Kelantan sepatutnya menjadi tuan rumah pada 2012, namun diberikan kepada Pahang apabila Kelantan tidak bersedia daripada segi kemudahan dan infrastruktur sukan yang perlu disiapkan oleh pihak kerajaan negeri,” katanya.
Sementara itu, MSN menjelaskan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma pada Mei 2015 telah memilih Perak selaku tuan rumah edisi 2018 dan Johor (2020) serta meminta Kelantan mempertimbangkan kesediaan sebagai tuan rumah Sukma 2022.
Begitupun mesyuarat jawatankuasa sama pada Mac 2019 telah meluluskan cadangan penggiliran tuan rumah antara kerajaan negeri dan MSN, menyaksikan MSN menjadi tuan rumah pada 2022 selain memutuskan untuk berbincang dengan kerajaan Kelantan bagi penganjuran edisi 2024.
“Ekoran penularan wabak Covid-19, Mesyuarat khas Jawatankuasa Tertinggi Sukma pada 9 November 2020 bersetuju dengan permintaan kerajaan Johor untuk menunda penganjuran Sukma ke tahun 2022,” menurut kenyataan itu.
Mesyuarat khas itu turut memutuskan MSN akan menganjurkan Sukma ke-21 bersama-sama Selangor atau Wilayah Persekutuan pada 2024 sementara Kelantan sebagai tuan rumah Sukma 2026. – UTUSAN ONLINE