KUALA LUMPUR: Kemenangan Kedah Eagles ke atas Perlis Vipers 2-1 dalam aksi Kumpulan B Divisyen 1 malam ini menyaksikan persaingan merebut slot separuh akhir hanya dapat ditentukan pada hari terakhir peringkat kumpulan pada kejohanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/22 di Stadium Titiwangsa dekat sini, esok.
Kedah yang dibimbing Syed Husain Syed Abu Bakar, tewas 19-21 dalam set pertama, namun kembali bangkit untuk mengheret pertemuan ke set penentuan apabila menang 21-18 pada set kedua.
Pertarungan sengit yang berlangsung dalam set penentuan antara dua pasukan dari utara tanah air itu akhirnya memihak kepada Kedah setelah menewaskan Perlis 21-11.
Kejayaan tersebut menyaksikan Kedah kini turut mengumpul empat mata bersama Terengganu Turtles dan Labuan Drillers tetapi kelebihan set meletakkan mereka di kedudukan kedua berbanding Labuan yang jatuh ke tangga ketiga Kumpulan B. – UTUSAN ONLINE