LONDON: Sejarah tercipta di Manchester United kelmarin selepas anak gadis Ole Gunnar Solskjaer membuat penampilan sulung bersama skuad bola sepak wanita Red Devils.
Kemasukan Karna Solskjaer sebagai pemain gantian ketika menentang Bridgewater United dalam saingan Piala FA Wanita menjadikan mereka pasangan bapa dan anak perempuan pertama beraksi untuk United.
Red Devils menang 2-0 dalam perlawanan pusingan keempat di Fairfax Park itu, hanya dua bulan selepas pemecatan Solskjaer yang turut menonton perlawanan bersama isterinya, Silje.
Karna, 19, yang memiliki karakter seperti bapanya ketika di atas padang dibawa masuk ketika permainan berbaki tiga minit dan menerima tepukan gemuruh daripada penyokong United.
Dia diberi peluang tampil kali pertama dalam skuad senior selepas menyerlah bersama skuad B-21 Red Devils dan laungan “you are my Solskjaer” kedengaran daripada tempat duduk penonton ketika Karna melangkah masuk ke padang. – AGENSI